PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengakui perasaan mereka bercampur baur apabila terlepas peluang dan mungkin bukan lagi rezeki mereka untuk merangkul gelaran pertama kejohanan Super 1000 di Terbuka China, semalam.
Begitupun, mereka telah memberi tentangan sengit sebelum tewas dalam pertarungan tiga set di tangan wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 14-21, 17-21 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Walaupun tewas, Shevon tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka yang berjaya mara ke final kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
Katanya, banyak pengajaran yang boleh mereka jadikan iktibar, terutama sekali semangat tidak pernah berputus asa.
“Perasaan saya bercampur baur tetapi saya sangat berpuas hati dengan perlawanan hari ini. Walaupun tewas, kami sudah berikan yang terbaik.
“Satu perkara yang sangat positif ialah kami tidak pernah berputus asa. Meskipun adalah sedikit salah faham, kami masih dapat membantu antara satu sama lain,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kekalahan meleburkan impian Soon Huat-Shevon untuk muncul beregu campuran pertama Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu sejak ia diperkenalkan pada 1986.
Mereka mengulangi pencapaian gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turut muncul naib juara pada edisi 2012.
Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara adalah menerusi bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei yang mengungguli saingan edisi 2015.
Setakat ini, hanya empat wakil negara yang pernah merangkul kejuaraan Terbuka China, iaitu Chong Wei; perseorangan lelaki, Wong Choong Hann (2002); perseorangan wanita, Datin Wong Mew Choo (2007) dan beregu lelaki, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek (1989).
Selaku naib juara, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai AS$70,000 (RM294,000) berserta trofi manakala Yan Zhe-Dong Ping meraih AS$148,000 (RM622,361) dan juga trofi.-UTUSAN