PETALING JAYA: Arena sukan permotoran tanah air kehilangan sebuah permata apabila bekas pelumba negara, Elly Idzlianizar Elias dilaporkan meinggal dunia pada usia 40 tahun di negeri kelahirannya, Perlis, semalam.
Kematian Elly Idzlianizar dimaklumkan oleh adiknya, Elly Idzliaikmal Elias di laman sosial miliknya.
“Selamat jalan abang ku #16. Semoga tenang di negeri abadi abang sayangku. Moga ditempatkan di syurga. Tunggu kami di sana abang. Nanti kita jumpa di sana abang,” tulis Elly Idzliaikmal.
Elly Idzlianizar sebelum ini mencipta nama dalam kategori Cub Prix apabila memenangi kejuaraan bersama beberapa pasukan seperti Honda, Yamaha dan Suzuki.
Allahyarham turut terpilih menyertai program pencarian pelumba ‘wildcard’ negara beraksi di Grand Prix Malaysia pada 2009 bersama seorang lagi pelumba, Zulfahmi Khairuddin.
Selain itu, Allahyarham turut memiliki buku autobiografi yang bertajuk ‘Evolusi Elly: Daripada rempit kepada juara’ yang diterbitkan pada 2010. – UTUSAN