Bekalan minyak masak peket di Kedah tidak terganggu - Utusan Malaysia

Bekalan minyak masak peket di Kedah tidak terganggu

PEGAWAI penguat kuasa KPDN memeriksa bekalan minyak masak peket di sebuah premis di Kedah. - IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekalan minyak masak peket bersubsidi di negeri ini disahkan mencukupi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah bagi kegunaan pengguna.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 21 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.4 juta kilogram (kg) minyak masak peket 1kg di Kedah setiap bulan.

“Hasil pemeriksaan secara keseluruhannya mendapati tiada gangguan di peringkat pengeluaran dan pengedaran ke pasaran dengan bekalan adalah mencukupi untuk kegunaan penduduk di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan di lima syarikat pembungkus di Sungai Petani susulan laporan media mengenai kekurangan bekalan minyak masak peket 1kg di sekitar daerah itu, baru-baru ini.

“Kita mendapati kuota pengeluaran bulanan minyak masak peket 1kg bagi lima syarikat pembungkus yang beroperasi di Sungai Petani adalah sebanyak 671,000kg dan mampu menampung permintaan di daerah itu,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, terdapat 32 kes melibatkan barang kawalan berjadual bagi komoditi minyak masak pada tahun ini sehingga semalam.

“Tiga kes daripadanya melibatkan kesalahan enggan menjual minyak masak dan satu kes melibatkan kesalahan meletakkan syarat bagi pembelian minyak masak kepada pengguna.

“Nilai sitaan keseluruhan bagi kes yang melibatkan minyak masak pada tahun ini berjumlah RM3,433.10,” jelasnya.

Sementara itu, KPDN mengingatkan peniaga agar tidak meletak sebarang syarat pembelian dan hanya dibenarkan mengehadkan kuantiti pembelian bagi setiap individu supaya lebih ramai pengguna dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN