Azizulhasni Awang akan berada di LA28

Azizulhasni Awang akan berada di LA28

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengesahkan hasratnya untuk terus terlibat dalam arena sukan itu dan ‘hadir’ ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Bagaimanapun, beliau yang turut dikenali sebagai The Pocket Rocketman atau mesra disapa Jijoe, masih belum memutuskan sama ada akan beraksi sebagai atlet atau menyertai barisan kejurulatihan.

Azizulhasni, 36, menyatakan bahawa keputusan tersebut bergantung kepada keadaan kesihatannya serta prestasi semasa menjelang temasya empat tahun itu.

“Mungkin boleh sekiranya saya menjaga kesihatan saya dan prestasi namun saya tidak nampak peluang saya untuk ke LA28 sebagai atlet,” katanya.

Beliau yang meraih pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih bersemangat untuk menyumbang kejayaan kepada sukan negara, sama ada di atas trek atau dari luar gelanggang.

“Saya masih mempunyai keinginan untuk bertanding tetapi pada masa yang sama, saya juga melihat peluang untuk melatih generasi muda pelumba basikal negara.

“Apa yang penting adalah bagaimana saya dapat memberi impak yang positif kepada sukan ini,” katanya ketika ditemui media semasa sesi ramah mesra bersama peminat di sini semalam.

Azizulhasni juga menegaskan bahawa beliau kini sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pasukan perubatan dan jurulatihnya mengenai keupayaannya untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.

Beliau menekankan bahawa keputusan yang akan diambil adalah yang terbaik, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk pasukan negara secara keseluruhan.

Sebelum ini, Azizulhasni mengumumkan bahawa Sukan Olimpik 2024 merupakan penglibatan beliau yang terakhir.

Katanya,beliau telah berjanji kepada keluarganya bahawa Paris 2024 akan menjadi sukan Olimpik terakhirnya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN