AS tamatkan misi ketenteraan di Iraq - Utusan Malaysia

AS tamatkan misi ketenteraan di Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iraq semalam bersetuju menamatkan misi ketenteraan di Iraq yang bertujuan memerangi kumpulan Daesh menjelang tahun depan.

Arab News melaporkan, menerusi persetujuan itu, tentera AS akan meninggalkan beberapa pangkalan yang telah diduduki selama 20 tahun secara beransur-ansur.

Namun, pentadbiran Presiden, Joe Biden enggan memberikan butiran tentang jumlah anggota tentera yang akan kekal di Iraq berbanding 2,500 yang ditempatkan kini.

Seorang pegawai AS yang memberi taklimat kepada wartawan semalam menyatakan, persetujuan itu melibatkan dua fasa peralihan dalam pasukan tentera yang ditugaskan di Iraq.

Dalam fasa pertama yang berlangsung hingga September tahun depan, misi menentang Daesh akan berakhir dengan anggota tentera AS akan meninggalkan beberapa pangkalan yang telah lama diduduki.

Sumber pegawai yang bercakap kepada The Associated Press mendedahkan, pasukan tentera AS akan mula berangkat dari Pangkalan Udara Ain Al-Asad di barat Iraq dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad selepas pilihan raya pada 5 November ini.

Pasukan tersebut akan dipindahkan ke Pangkalan Hareer di Irbil, di kawasan Kurdistan, utara Iraq.

Dalam fasa kedua, AS akan terus beroperasi dalam beberapa cara dari Iraq hingga 2026 untuk menyokong operasi melawan Daesh di Syria, kata seorang pegawai kanan pentadbiran Biden dan seorang pegawai pertahanan kanan.

Jelas pegawai, akhirnya misi ketenteraan AS akan beralih kepada hubungan keselamatan dua hala.

Pegawai Iraq berkata, sekumpulan tentera AS mungkin kekal di Pangkalan Hareer selepas 2026 atas permintaan kerajaan wilayah Kurdistan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN