AS akan iktiraf jika Houthi henti serangan - Utusan Malaysia

AS akan iktiraf jika Houthi henti serangan

ANGGOTA tentera Houthi berkawal di Sanaa, Yaman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Amerika Syarikat (AS) semalam menawarkan untuk mengiktiraf kerajaan Houthi di Sanaa, Yemen dalam usaha untuk menghentikan serangan kumpulan tersebut, dakwaan yang dinafikan oleh pegawai Washington.

Kenyataan oleh seorang pegawai Houthi tersebut, muncul sehari selepas peluru berpandu balistik dari kumpulan yang berpihak kepada Iran itu kali pertama dilancarkan ke tengah Israel, mendatangkan kemarahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang berikrar Houthi akan menerima akibatnya.

“Setiap kali selepas berlaku serangan, ada beberapa pihak akan menghubungi Houthi. Kali ini Washington mahu mengiktiraf kami jika menghentikan serangan terhadap Israel,” jelas seorang ahli biro politik pergerakan Houthi, Mohammed Al-Bukhaiti kepada TV Al Jazeera Mubasher.

Seorang pegawai AS yang enggan dinamakan, bagaimanapun, menafikan perkara berkenaan dengan menyifatkan ia adalah satu pembohongan.

Dalam perkembangan lain, seorang pegawai Kementerian Luar AS menyifatkan Houthi gemar menarik perhatian dunia dengan propaganda.

Selain serangan terhadap Israel, kumpulan yang beroperasi di Yemen itu juga melancarkan serangan ke atas kapal yang dipercayai mempunyai kaitan atau menuju ke Israel.

Houthi merosakkan lebih 80 kapal dalam serangan peluru berpandu dan dron sejak November lalu, dengan dua daripadanya tenggelam, satu dirampas dan membunuh sekurang-kurangnya tiga krew.

Konflik di Gaza yang bermula 11 bulan lalu, mengakibatkan sejumlah 250 orang asing serta pendatang haram Israel ditahan sebagai tebusan.

Serangan balas Israel ke Gaza setakat ini membunuh 41,226 rakyat Palestin dan mencederakan 95,413 yang lain, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Yemen terjerumus dalam perang saudara selama bertahun-tahun, menyaksikan Houthi mengambil alih ibu kota Sanaa dan menggulingkan kerajaan yang diiktiraf secara antarabangsa pada tahun 2014. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN