PETALING JAYA: Arif Aiman Hanapi membuktikan bahawa status sebagai pemain tempatan tidak menghalang untuk dirinya menyerlah dalam pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25.
Diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan yang dibarisi sembilan pemain import pada aksi pertama ACLE berdepan Shanghai Port, menyaksikan Arif Aiman lebih menyerlah apabila meledak dua gol sekali gus membantu JDT meraih keputusan 2-2.
Tonggak Harimau Malaya itu yang sering memporak-perandakan benteng pertahanan pasukan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini, turut melakukan perkara sama di pentas Asia dengan barisan pertahanan Shanghai Port menjadi ‘mangsa’ pertama.
Arif Aiman yang mendapat julukan ‘Mr MVP’ (Pemain Paling Bernilai) meledak gol pendahuluan buat JDT pada setiap babak dan jaringannya membolehkan JDT mengutip mata pertama pada pentas ACLE kali ini.
Berdasarkan prestasi memukaunya pada aksi pembukaan, mungkin ini boleh dianggap sebagai amaran daripada Arif Aiman buat pasukan lain dalam ACLE dan secara tidak langsung membuktikan pemain Malaysia memiliki kualiti tersendiri.
“Alhamdulillah. Ya, aksi malam ini(kelmarin) sukar untuk kami namun walau apa pun berlaku kami berikan 100 peratus, karakter dan pengorbanan namun nasib tidak memihak kepada kami.
“Kami sasar untuk menang dan kami akan meneruskannya pada aksi selepas ini. ACLE merupakan kejohanan tertinggi dan menjadi impian saya untuk beraksi di peringkat ini.
“Saya berusaha keras dan korbankan segala-galanya untuk bermain di tahap ini dan saya akan dengan lebih bekerja keras berbanding sebelum ini,” katanya.-UTUSAN