Arab Saudi seru tindakan segera tamatkan krisis Sudan

Arab Saudi seru tindakan segera tamatkan krisis Sudan

UNICEF memberi amaran sekurang-kurangnya 700,000 kanak-kanak di Sudan berkemungkinan mengalami malnutrisi teruk tahun ini dan puluhan ribu dijangka terkorban. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketua Bantuan Arab Saudi menyeru bantuan segera untuk Sudan dalam satu acara berprofil tinggi di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.

Ketua Agensi Bantuan KSrelief, Abdullah Al-Rabeeah berkata, Arab Saudi telah memperuntukkan lebih AS$3 bilion (RM 12 juta) bantuan kepada negara yang dilanda konflik itu, dengan hampir 26 juta penduduknya kini berdepan krisis kekurangan makanan.

Namun, respons antarabangsa terhadap Sudan masih mengecewakan yang bakal menyebabkan berjuta-juta lagi berdepan penderitaan.

Beliau berucap dalam forum bertajuk ‘Kos Kegagalan Tindakan’ yang dianjurkan bersama oleh Arab Saudi, Mesir, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika dan PBB bertujuan untuk menarik perhatian dunia kepada skala penderitaan di Sudan dan meraih sokongan bagi rayuan kemanusiaan global.

Terdapat lebih 11 juta rakyat Sudan telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan negara lain berikutan perang saudara dan Arab Saudi merupakan antara negara yang sedang melaksanakan strategi berganda dalam usaha perdamaian dan bantuan kemanusiaan bagi menamatkan krisis tersebut.

Dalam ucapannya, Al-Rabeeah berkata, menjadi tanggungjawab bersama untuk membantu Sudan, sebuah negara yang sedang menghadapi cabaran besar dan layak menerima sokongan daripada negara tetangga jiran lain.

Beliau berkata, Arab Saudi sedar sepenuhnya akan tanggungjawabnya terhadap Sudan dan beliau turut menekankan ‘usaha besar’ yang telah dilakukan oleh negara kaya minyak terbabit dalam menangani krisis tersebut sejak tercetusnya perang saudara di negara Afrika itu.

Katanya, usaha itu termasuk Deklarasi Jeddah untuk melindungi orang awam serta memastikan akses bantuan kemanusiaan.

“Namun, peningkatan keganasan yang baru-baru ini berlaku di beberapa wilayah telah menyebabkan kerosakan yang lebih besar, mendorong berjuta-juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, keluarga, dan harta benda mereka,” katanya.

Al-Rabeeah juga menggesa masyarakat antarabangsa agar mengetepikan pertimbangan politik untuk merumuskan tindak balas yang kukuh terhadap krisis di Sudan.

“Ini adalah tragedi kemanusiaan yang memerlukan kita untuk mengatasi perpecahan yang ada. Kita mesti memastikan perubahan sebenar yang akan membolehkan seluruh rakyat Sudan memulihkan kehidupan normal mereka,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya