Aniq, Aznil sandaran emas Sukan Komanwel 2026

Aniq, Aznil sandaran emas Sukan Komanwel 2026

ANIQ Kasdan menunjukkan pingat emas yang dimenanginya di Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024, di Fiji.-IHSAN ANIQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin menjadi sasaran utama untuk Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menjelang Sukan Komanwel 2026.

Ianya susulan daripada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024, di Fiji yang mana Aniq meraih emas menerusi kategori 61 kilogram (kg) manakala Aznil turut melakar kemenangan pada acara sulungnya dalam 67kg, semalam.

Aznil Bidin

Malah, Aniq turut memecah rekod kebangsaan dan Komanwel dengan melakukan angkatan snatch 131kg dan jumlah keseluruhanya 298kg,

Terdahulu, rekod Komanwel bagi snatch adalah 130 yang dilakukan oleh Aniq di Sukan Olimpik Paris 2024 sementara bagi clean and jerk, 170kg dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Qatar pada Disember 2023 dengan jumlah angkatan keseluruhan adalah 297kg.

Jumlah angkatan tersebut menyaksikan, atlet kelahiran Johor itu mengatasi dua rekod dalam satu kejohanan yang sama iaitu memperbaharui catatan buat Malaysia dan Komanwel.

Sementara itu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, jika Aniq dan Aznil meneruskan konsistensi, mereka mampu mencerahkan peluang emas di Sukan Komanwel 2026.

“Di kejohanan ini, memang kita sudah jangkakan emas daripada mereka (Aniq dan Aznil) kerana mereka lebih unggul berdasarkan angkatan berbanding pesaing mereka.

“Kita lihat apabila persaingan Aniq lebih baik di 61kg kita juga enggan mempersiakan keupayaan Aznil. Jadi kita naikkan beliau ke 67kg dan perlu melakukan angkatan 300kg.

“Bagaimanapun, menjelang Sukan Komanwel, beliau (Aznil) perlu mengangkat 310kg dan memang kita mengharapkan kedua-duanya emas untuk Malaysia,” kata Ayub.

Sementara itu, Ayub turut mendedahkan kem angkat berat negara akan mengharungi jadual latihan dan kejohanan yang padat berikutan Sukan SEA Thailand 2025 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

“Dalam perjalanan kita mempersiapkan diri ke Sukan Komanwel (2026), kita akan bersaing di Sukan SEA dahulu. Sememangnya ianya mencabar namun kita akan berusaha dengan baik,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN