Anak diperkosa bapa minum Coke, nanas muda gugur kandungan

Anak diperkosa bapa minum Coke, nanas muda gugurkan kandungan

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bapa diperintah menjalani hukuman penjara 33 tahun dan dikenakan 20 sebatan oleh Mahkamah Rayuan atas dua kesalahan memperkosa anak perempuannya hingga hamil.

Kejadian berlaku di antara 2013 hingga 2018 seawal mangsa berusia 15 tahun dan pernah dua kali menggugurkan kandungan dalam tempoh tersebut. Meskipun setelah berpindah ke sekolah berasrama, gadis itu diperkosa ketika pulang ke rumah untuk bercuti.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian terhadap lelaki tersebut selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin bagaimanapun membenarkan sebahagian rayuannya terhadap sebatan dan mengurangkannya daripada 25 sebatan kepada 20 sebatan bagi kedua-dua pertuduhan.

Koram itu berpuas hati bahawa pembelaan perayu adalah penafian kosong dan pemikiran terkemudian (afterthought) semata-mata.

“Kelewatan mangsa membuat laporan polis sama sekali tidak meruntuhkan kes pendakwaan dan kami dapati alasan kelewatan adalah berasas kerana ketakutan mangsa terhadap perayu yang panas baran dan kebimbangan dia dan ibu akan dipukul jika kejadian itu didedahkan,” ujar Hakim Azmi dalam alasan penghakimannya.

Pertuduhan pertama, lelaki itu disabitkan memperkosa anak kandungnya (ketika itu berusia 15 tahun) pada waktu petang pada 2013 di rumah mereka di Pasir Gudang, Johor.  Dia dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.

Pertuduhan kedua, dia disabitkan memperkosa mangsa di antara pukul 4 petang dan 7 malam, pada November 2018 di rumah yang sama. Dia dikenakan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan.  Panel berkenaan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa secara berturutan.

Naratif pendakwaan menyatakan, sehari sebelum sambutan Hari Guru pada 2013, rakannya bertanyakan kepada mangsa berkenaan kesan lebam pada mukanya dan gadis itu menjelaskan dia ditumbuk perayu.

Keterangan mangsa menyebut, dia ditumbuk ketika cuba menepis tangan bapanya sebelum diperkosa kali pertama. Selepas kejadian pada 2013, dia diperkosa beberapa kali dan kebanyakannya berlaku ketika tiada sesiapa di rumah pada waktu petang.

Sekitar Januari 2017, mangsa yang mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik kerana kurang sihat, dimaklumkan oleh doktor bahawa dia mengandung. Mangsa kemudian memberitahu bapa berhubung kehamilannya.

Keterangan kes turut menyatakan, lelaki itu meminta bantuan menantu perempuannya iaitu saksi pendakwaan kedua (SP2) untuk menggugurkan kandungan atas alasan mangsa telah terlanjur dengan teman lelaki.

“SP2 mencadangkan mangsa minum ‘Coke’ dan nanas muda sehingga kandungannya gugur. Namun perayu memaksa mangsa melakukan hubungan seks setiap kali gadis itu pulang dari asrama,” demikian menurut alasan penghakiman bertarikh 2 Ogos lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Naratif pendakwaan turut menyatakan, lima bulan kemudian, mangsa sekali lagi mendapati dirinya hamil dan bertindak menggugurkannya melalui cara yang sama. Mangsa terus diperkosa berterusan dan kali terakhir pada November 2018.

Mangsa hanya memaklumkan kejadian perkosa kepada ahli keluarganya selepas perayu mahu menghantarnya ke pusat pemulihan akhlak atas dakwaan dia telah dirosakkan oleh teman lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN