KUALA SELANGOR: Bekas isteri pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar enggan memberi sebarang komen berhubung perceraiannya yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, di sini, pagi tadi.
Kelihatan tenang, Ira mengehadkan bicara dan hanya memberikan komen ringkas.
“Tiada apa. Alhamdulillah, selesai,” katanya.
Kemudian Ira juga mengganguk apabila ditanya sama ada tidak mahu memberikan sebarang komen.
“Minta maaf ya. Terima kasih,” katanya.
Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata anak guamnya di dalam keadaan bersedia menerima apa saja keputusan mahkamah hari ini.
“Saya dari awal meminta dia bersedia, jadi apa yang berlaku hari ini sudah jatuh dan sudah pun disabit.
“Soal emosi dia saya percaya kita hormati dan cuma saya boleh beritahu saya sudah pesan pada dia (Ira) dari awal lagi untuk bersedia,” katanya.
Pagi tadi Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, di sini, hari ini mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh pengarah sensasi, Syamsul Yusof terhadap Ira Kazar ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai yang dilafaz oleh suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.
Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik dan sekali gus jatuh talak satu.-UTUSAN