Akmal Rizal terima keputusan pengadil dengan terbuka

Akmal Rizal terima keputusan pengadil dengan terbuka

PEMAIN tengah JDT, Enzo Lombardo diasak dua pertahanan Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli enggan mempertikai keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang memberikan tiga penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika berpesta gol 5-0 menewaskan pasukan kendaliannya pada aksi Liga Super, semalam.

Akmal Rizal percaya pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali telah membuat keputusan yang tepat setelah menyemak VAR berhubung sepakan penalti tersebut.

Katanya, skuad Harimau Kumbang tewaskan kepada pasukan yang lebih baik yang merupakan salah satu pasukan terbaik di rantau Asia.

“Saya rasa tak boleh pertikai, ini kerana Razlan (Joffri) adalah pengadil terbaik yang ada di Malaysia ketika ini, jadi saya rasa beliau buat keputusan yang tepat.

“Apa pun, saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya, mereka telah memberikan yang terbaik, tapi kita kalah dengan antara pasukan terbaik di Asia,” katanya.

Pada perlawanan itu, JDT dihadiahkan tiga sepakan penalti, satu daripadanya gagal disudahkan oleh Arif Aiman Hanapi pada penghujung babak pertama permainan.

Pemain kebangsaan itu mengubati kekecewaan apabila menyudahkan sepakan penalti terakhir JDT manakala satu lagi sepakan penalti itu disudahkan penyerang sensasi, Bergson Da Silva.

Dalam pada itu, Akmal Rizal berkata, pemain berjaya mengikut taktikal yang diterapkan setelah berdisiplin tinggi sepanjang perlawanan mengekang asakan bertubi-tubi pasukan tuan rumah.

Katanya, corak permainan itu awalnya tampak berkesan malah skuad Harimau Kumbang itu turut memiliki peluang untuk mencipta kejutan menerusi percubaan dilakukan penyerang, Rodrigo Diaz.

“Bagaimanapun ia bukan semudah kata. Walaupun pemain telah bermain dengan baik, tetapi inilah bola sepak, bila terlepas peluang, kita sukar dapat peluang kedua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN