PETALING JAYA: Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Rakhli tidak dapat menyembunyikan kekecewaan yang dialami selepas menyaksikan pasukannya tewas 4-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super di tempat lawan, semalam.
Penang FC hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila mereka terlebih dahulu membuka tirai jaringan sebelum memberi peluang kepada pasukan tuan rumah untuk menjaringkan gol berpunca daripada kesilapan pertahanan.
“Saya memang kecewa dengan kekalahan pada hari ini (semalam). Perancangan yang cuba dilakukan gagal diterjemahkan. Kami berlula dengan baik apabila mendapat gol awal malah memberi tekanan kepada KL City FC.
“Bagaimanapun dua kesilapan yang kami lakukan apabila ada ruang yang besar antara pertahanan dan tengah telah menyebabkan pasukan kami dihukum dengan dua gol pada babak pertama.
“Selepas rehat, kami cuba bangkit dengan memberi tekanan tetapi kelalaian dan kesilapan telah menyebabkan kami dihukum. 15 minit terakhir kami cuba bagi tekanan tetapi sudah lewat dan lawan juga telah menutup ruang sehingga menyukarkan pergerakan.
“Keputusan yang mengecewakan tetapi kami kena bangkit segera dan kenal pasti kesilapan untuk aksi akan datang. Kami akan melakukan analisa dan memperbetulkan apa yang kurang,” katanya.
Gawang Penang FC dibolosi tujuh gol dalam dua terakhir mereka selepas dibelasah 5-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 12 September sebelum seri 2-2 menentang Negeri Sembilan FC (22 September).
“Kita tidak boleh berterusan mendapatkan keputusan perlawanan seperti ini jika tidak kami akan terus terperosok ke dasar liga dan sukar untuk mencapai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang diberikan.
“Awal liga pertahanan baik tetapi selepas itu kami dibolosi banyak gol dan bagi saya ia berpunca daripada kesilapan pemain sendiri dan ini amat merisaukan. Adalah menjadi tugas saya untuk memperbaikinya,” katanya. – UTUSAN