Ainol Amriz CEO baharu MPI

Ainol Amriz CEO baharu MPI

Ainol Amriz Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Press Institute (MPI) mengumumkan pelantikan bekas Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Malaysia, Ainol Amriz Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, pelantikan Ainol Amriz yang juga bekas Penolong Pengarang UtusanTV dan Ahli Majlis Pentadbir MPI, dipersetujui Ahli Majlis Pentabir MPI setelah proses temuduga di mana pertimbangan berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran beliau dalam media, komunikasi serta tenaga pengajar industri.

Kata beliau, pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Mustapa Omar yang menamatkan kontrak pada 30 September ini untuk memberi tumpuan dalam bidang lain.

“MPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mustapa di atas khidmat yang cemerlang, khusus dalam mentransformasi MPI ke arah lebih dinamik dan telus.

“Apabila beliau mengambil alih peranan CEO Ogos tahun lalu, Pak Mus (Mustapa) berharap akan dapat memberi impak yang ketara dalam masa yang singkat. Dalam hal ini, Pak Mus sangat berjaya dalam hasratnya untuk membawa MPI kepada lembaran baharu.

“Kami menghormati keputusan Pak Mus untuk melepaskan jawatan sejak Mac lalu selepas mencapai sasarannya dan memohon beliau menangguhkannya sehingga kami mendapat calon sesuai untuk dipanggil temuduga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ainol Amriz berkelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM).

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan, media dan komunikasi, pernah berkhidmat di Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) sebagai Pengurus Jabatan Pengarang dan Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn. Bhd., anak syarikat UMMB, iaitu syarikat penyedia latihan.

Beliau juga jurulatih berakreditasi dari Human Resources Development Corporation (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sejak tahun 2018 dan aktif mengajar di seluruh negara dalam skop media, komunikasi dan kandungan digital, selain merupakan Ahli Panel bagi Kajian Semula Standard Program: Pengajian Media dan Komunikasi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2023-2025.

Ainol Amriz yang pernah menjadi Ahli Majlis Pentadbir pada tahun 2016-2018, turut terlibat dalam pendidikan sebagai Pensyarah Sambilan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.

Mengulas lanjut, Soo Heong berkata, pelantikan Ainol Amriz berdasarkan pendekatannya yang segar dan pengetahuan mendalam dalam bidang kewartawanan baharu.

“Terutamanya dalam media sosial untuk membolehkan MPI kekal relevan sebagai penyedia latihan terunggul dalam landskap media yang sentiasa berubah,” katanya.

Sementara itu, Ainol Amriz menyatakan tumpuan beliau kini adalah merancakkan program latihan berdasarkan keperluan semasa selain merangsang minat penyertaan kepada Hadiah Kewartawanan Malaysia dalam kalangan pengamal media.

Jelasnya, ia penting untuk menyaksikan MPI sebagai pentas latihan menyeluruh dengan fokus pemantapan bakat menjadikan ia relevan kepada semua pihak.

“Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan MPI ini. Tentulah banyak cabarannya. Dengan teras kepercayaan semua pihak meliputi pengamal media, pihak industri dan akademik kepada MPI, usaha berterusan dan komitmen yang tinggi dari pengurusan, kita yakin MPI terus berada di pentas cemerlang,’’ ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN