Ada pihak ‘scam’ jaja cerita pelajar miskin tiada duit masuk universiti

Ada pihak ‘scam’ jaja cerita pelajar miskin tiada duit masuk universiti

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesan beberapa kes penipuan pihak tertentu ‘menjaja’ kisah pelajar miskin untuk menyambung pengajian ke universiti.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir justeru mengarahkan pengurusan institusi pengajian tinggi untuk memantau dan segera membuat laporan polis jika ditemui.

“Pihak itu cuba mengeksploitasi cerita anak keluarga miskin dapat tawaran ke universiti dengan buka akaun bank palsu dan dapat duit secara mudah,” katanya kepada pemberita ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPT di sini hari ini.

Kisah pelajar cemerlang yang gagal melanjutkan pengajiannya kerana isu kemiskinan keluarga seringkali mendapat tumpuan media setiap kali sesi baharu pendaftaran universiti.

Walau bagaimanapun, Zambry baru-baru ini mengarahkan pentadbiran semua universiti bagi menangguhkan yuran kemasukan jika pelajar terbabit memang tidak berkemampuan.

Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa ada dari kalangan penuntut miskin itu yang langsung dikecualikan sebarang pembayaran menerusi pelbagai skim khas untuk mereka.

“Saya dimaklumkan sehingga semalam terdapat 2,500 pelajar berkenaan yang tidak perlu bayar pendaftaran melalui inisiatif Program Sulung di kesemua universiti awam,” katanya.

Justeru, beliau meminta penuntut keluarga berpendapatan rendah atau B40 untuk tidak malu tampil melaporkan masalah mereka dan bukannya langsung tidak mendaftarkan diri.

Zambry malah memberi jaminan bahawa KPT sentiasa ke hadapan dalam membela nasib golongan miskin tanpa mengira latar belakang kaum agar belajar di pusat pengajian tinggi.

Profil keluarga pelajar terbabit ujarnya, juga dimasukkan dalam sistem maklumat universiti berkenaan bagi menerima dana termasuk bantuan segera pendaftaran kira-kira RM1,000.

Perkara tersebut jelas beliau, turut dibantu oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang kemudian akan bertindak pula menyalurkan pinjaman kepada mereka.

“KPT tidak mahu berlaku isu diskriminasi kepada anak miskin yang cemerlang bahkan saya mahu mereka juga dapat sambung belajar dan akhirnya bantu balik keluarga,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN