Aaron-Khai Xing sedut aura Aaron-Wooi Yik

Aaron-Khai Xing sedut aura Aaron-Wooi Yik

AARON Tai (kiri) bersama Kang Khai Xing selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki remaja negara, Aaron Tai-Kang Khai Xin menganggap peluang menjalani latihan bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai penyuntik semangat menjelang Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, minggu depan.

Khai Xing berkata, peluang berlatih bersama pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 yang juga pasangan No.5 dunia  itu meningkatkan keyakinannya dan Aaron, sekali gus membuatkan mereka lebih matang semasa beraksi di dalam gelanggang.

“Kami mahu menggunakan peluang yang diberikan oleh jurulatih Rexy (Mainaky) dengan sebaik mungkin. Berada di gelanggang sama, memberikan aura berbeza, apatah lagi berdepan (bekas) juara dunia.

“Saya mendapat motivasi dan lebih bersemangat apabila mendapat sokongan daripada pemain senior dan mereka turut memberi teguran jika melakukan kesilapan,” kata Khai Xing ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Susulan tewas di pentas akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia 2024, Julai lalu, Aaron melihat beberapa aspek terutamanya stamina perlu dipertingkatkan untuk mereka mara lebih jauh di kejohanan dunia itu.

“Saya rasa di Kejohanan Asia, kami agak keletihan malah mereka (lawan) turut mengalami perkara sama tetapi berjaya mengatasi kami. Jadi untuk kejohanan ini (dunia) kami akan tingkatkan stamina kami,” kata Aaron.

Julai lalu, Aaron-Khai Xing terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepastumpas kepada pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi di pentas final Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.

Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki merangkul gelaran remaja dunia adalah menerusi Nelson Heg-Teo Ee Yi pada edisi 2011.

Kejohanan Badminton Remaja Dunia dijadualkan akan berlangsung 30 September hingga 5 Oktober ini di Nanchang, China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN