86,266 mangsa, RM2.76 bilion rugi  ditipu jenayah dalam talian 86,266 mangsa, RM2.76 bilion rugi  ditipu jenayah dalam talian

86,266 mangsa, RM2.76 bilion rugi  ditipu jenayah dalam talian

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 86,266 individu menjadi mangsa penipuan dalam talian sejak 2021 hingga tahun lalu dengan kerugian kira-kira RM2.76 bilion. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 5,533 mangsa atau 6.4 peratus dalam kalangan individu berumur 61 tahun ke atas iaitu warga emas. 

Menurut beliau, angka  yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 21,535 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga Ogos lalu, seramai 1,916 mangsa atau 8.9 peratus adalah warga emas.

“Walaupun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas adalah kecil berbanding kelompok umur  lain, namun nilai kerugian yang dialami oleh warga emas adalah tinggi, sekali gus menjadikan mereka sasaran yang berkualiti. 

“Sepanjang tiga tahun lalu, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan bagi kes-kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.76 bilion. 

“Dari jumlah ini, kerugian melibatkan mangsa warga emas adalah RM552.5 juta atau bersamaan 20 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, sejak Januari hingga Ogos lalu, kerugian melibatkan mangsa warga emas telah mencecah RM255.3 juta atau bersamaan 27.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM914 juta.

“Terbaharu, seorang wanita warga emas berusia 72 tahun rugi RM670,994 selepas ditipu sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai unit khidmat pelanggan Putrajaya dan polis, pada 20 September lalu.

“Mangsa telah dihubungi  individu yang kononnya dari unit khidmat pelanggan, Putrajaya mendakwa telefon mangsa kononnya telah disalahgunakan dalam kes jenayah siber dan mangsa perlu memohon perlindungan data peribadi serta perlindungan dana. 

“Panggilan kemudian disambungkan kepada pihak ‘polis’ yang seterusnya memaklumkan mangsa turut terlibat dalam kes penggubahan wang haram,” katanya.

Menurut beliau, mangsa diarahkan mengumpulkan semua wang simpanannya ke satu akaun bank milik mangsa sendiri. 

Jelasnya, maklumat perbankan bagi akaun tersebut kemudian diberikan kepada pihak ‘polis’. 

“Mangsa juga diarahkan menyerahkan semua barang kemas dan ‘gold bar’ kepada individu yang datang mengambil barangan tersebut di rumah mangsa,” katanya.

Secara keseluruhannya, mangsa mengalami kerugian wang tunai, barang kemas, dinar emas dan gold bar semuanya bernilai RM670,994.

“Kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN