70 pemain golf amatur berentap di PNAGS

PNAGS: 70 pemain golf amatur berentap di grand final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 70 pemain golf amatur hebat negara akan beraksi dalam grand final Siri Golf Kebangsaan Amatur Perodua (PNAGS) yang bakal diadakan di Forest City Golf Resort pada minggu depan.

Pemenang bagi lima kategori handicap akan diberi peluang eksklusif untuk mewakili negara di pentas global pada Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand.

Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya Perodua yang akan membawa juara kebangsaan untuk bertanding dalam kalangan pemain golf amatur terbaik lebih daripada 40 negara bermula 25 Oktober hingga 2 November ini.

Kejohanan tersebut bakal diadakan di tiga lapangan gol terkenal di Phuket iaitu The Red Mountain, Kelab Golf Laguna dan Blue Canyon.

“Program untuk final kebangsaan ini termasuk majlis makan malam dan majlis pengibaran bendera di Hotel Forest City Golf pada 8 September ini,” kata Pengerusi Penganjur PNAGS 2024, Lokman Ishak dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pertandingan tersebut mempunyai dua pusingan, 36 lubang dan akan menggunakan format ‘strokeplay’.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim akan merasmikan majlis tersebut pada 10 September ini.

PNAGS 2024 dengan bangganya telah disahkan penganjuran mereka oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Kementerian Belia dan Sukan dengan sokongan penuh Tourism Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN