SINGAPURA: Seramai 50,000 orang berkumpul di Stadium Nasional bagi menghadiri upacara pertama oleh Pemimpin Tertinggi Vatican, Pope Francis sejak kali terakhir pada 1986.
Pope tiba pada pukul 4.30 petang, semalam, dan menaiki kereta berwarna putih mengelilingi stadium, sambal melambai tangan kepada kanak-kanak dan pengunjung lain.
Lautan manusia yang berpakaian kuning dan putih yang mewakili warna bendera Vatican melambai dan bersorak gembira ketika beliau melintas, dengan sebahagian memegang papan tanda mengalu-alukan kehadiran pemimpin agama itu.
Pope tiba di Singapura pada petang Rabu, yang disambut oleh Perdana Menteri, Lawrence Wong bersama isterinya, Loo Tze Lui, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam.
Pemeriksaan diperketatkan di perkarangan pintu masuk stadium tersebut, dengan hanya pengunjung yang mempunyai tiket sahaja dibenarkan untuk memasuki ke dalam, manakala petugas keselamatan menyediakan bakul-bakul kemudiannya dimuatkan ke dalam pengimbas X-ray, sementara mereka yang beratur melalui pengimbas badan perlu melalui pengesan logam untuk pemeriksaan lanjut.
Lebih 2,000 orang terlibat dalam acara itu termasuk 1,600 anggota koir, 656 pengawal, 300 pelayan altar, 128 anggota perubatan dan jururawat, serta 260 anggota kawalan orang ramai.
Antara yang hadir termasuk 2,600 pelajar tadika dan kolej, 310 pekerja imigran, 1,000 warga emas dari paroki seluruh negara, dan 250 pengguna kerusi roda di samping 3,000 penganut Katolik dari negara-negara Persekutuan Konferensi Uskup Asia.
Pada Khamis, Pope menghadiri upacara sambutan di Bangunan Parlimen, bertemu Presiden, Tharman Shanmugaratnam dan Wong serta menyampaikan ucapan negara di Universiti Nasional Singapura.
Beliau juga mengadakan pertemuan tertutup dengan bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada petang Khamis.
Singapura adalah destinasi terakhir dalam lawatan Asia-Pasifik Pope Francis selepas melawat Indonesia, Papua New Guinea, dan Timor-Leste. -AGENSI