44 maut Taufan Helene landa Florida - Utusan Malaysia

44 maut Taufan Helene landa Florida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CEDAR KEY, Florida: Sekurang-kurangnya 44 orang maut di lima negeri di Amerika Syarikat (AS) selepas Taufan Helene melanda, mengakibatkan banjir besar dan gangguan bekalan elektrik.

Helene yang mendarat kira-kira pukul 11.10 malam kelmarin berhampiran Perry, Florida, membawa angin sekuat 225 kilometer sejam, menjadikan ia ribut kategori 4 terburuk pernah melanda wilayah itu sejak tahun 1851.

Jalan-jalan, rumah dan premis perniagaan ditenggelami air, manakala lebih 4.2 juta pengguna terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik terputus di 10 negeri dari Florida hingga Ohio.

Pusat Taufan Kebangsaan melaporkan, walaupun Helene telah melemah menjadi ribut tropika,
angka kematian dijangka meningkat memandangkan banjir masih belum reda.

Hujan sehingga 300mm dijangka di pergunungan Appalachian, dengan beberapa lokasi terpencil menerima 500mm.

Di Carolina Selatan, sekurang-kurangnya 20 orang maut termasuk dua anggota bomba dan enam penduduk di Spartanburg County.

Pejabat Gabenor Georgia pula mengesahkan 15 orang terbunuh termasuk seorang kakitangan kecemasan, manakala sebanyak 115 rumah dan kedai musnah di bandar Valdosta dengan ramai mangsa terperangkap.

Di Florida, sebanyak tujuh kematian dicatat dan Gabenor Ron DeSantis menyatakan, kerosakan kali ini lebih teruk daripada kemusnahan ketika taufan Idalia dan Debby melanda Florida di tenggara Tallahassee 13 bulan lalu.

Sementara itu, seorang penduduk maut di Virginia.

Kira-kira 640 kilometer ke utara di bandar Erwin, Tennessee, lebih 50 pesakit dan kakitangan diselamatkan menggunakan helikopter selepas terperangkap di bumbung hospital. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN