29 maut serangan baharu Israel di Lubnan - Utusan Malaysia

29 maut serangan baharu Israel di Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Lubnan semalam, ketika tentera udara rejim Zionis memperluas pengeboman ke negara ini untuk hari keempat berturut-turut, meskipun terdapat desakan antarabangsa ke arah gencatan senjata.

Menurut kiraan Al Jazeera yang memetik Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, majoriti yang terkorban ialah warganegara Syria di bandar Younine di Lembah Bekaa, di sepanjang sempadan timur negara ini dengan Syria.

Kementerian itu memaklumkan, serangan lain turut berlaku di kampung-kampung dan bandar-bandar di selatan negara termasuk Tyre, dengan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 15 yang lain cedera dalam serangan di pinggir ibu negara Beirut.

Lewat malam tadi, tentera Israel mendakwa angkatan udaranya telah menyerang kira-kira 220 sasaran yang dikaitkan dengan kumpulan bersenjata Hezbollah, dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Sebelum itu, tentera Israel mendakwa membunuh Ketua Unit Udara Hezbollah, Muhammad Hossein Sarur dalam satu serangan di Beirut.

Dalam satu kenyataan di saluran Telegramnya semalam, Hezbollah menyatakan pihaknya berjaya melancarkan lebih 50 peluru berpandu ke arah Ahihud di utara Haifa dan menembak roket ke arah Kiryat Shmona, pos-pos tentera dan pangkalan perintah di pelbagai kawasan utara Israel.

Mereka mendakwa menggunakan senjata pertahanan udara untuk memaksa dua pesawat perang Israel meninggalkan ruang udara Lubnan.

Serangan terbaharu malam tadi berlaku ketika pegawai Israel menolak panggilan antarabangsa yang semakin meningkat untuk gencatan senjata.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken berkata, dunia menginginkan gencatan senjata dan beliau akan bertemu dengan pegawai Israel di New York.

Di London, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menyatakan masih terdapat ruang untuk diplomasi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya