JAKARTA: Sebanyak 14 menara pangsapuri untuk kakitangan awam dan pasukan keselamatan di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara, Kalimantan Timur, siap sepenuhnya dengan kelengkapan perabot.
Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR), Basuki Hadimuljono berkata, semua 14 menara perumahan tersebut kini bersedia untuk menempatkan kakitangan kerajaan yang akan dipindahkan secara berperingkat ke ibu negara baharu Indonesia.
“Dari segi infrastruktur, (menara-menara ini) sudah bersedia,” katanya.
12 Ogos lalu, Menteri Pembaharuan Pentadbiran dan Pembaharuan Birokrasi, Abdullah Azwar Anas berkata, kerajaan mensasarkan untuk menyiapkan semua pembinaan 47 menara pangsapuri menjelang Oktober, tahun ini.
Anas menjelaskan menara-menara tersebut mempunyai kapasiti untuk menampung sebanyak 3,200 orang jika semua kakitangan awam ditempatkan dalam unit perumahan berkongsi.
Namun, beliau menjelaskan Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengarahkan agar setiap kakitangan awam yang telah berkahwin diberi penginapan individu dan dalam senario ini, pangsapuri tersebut dapat menampung sekitar 1,700 penghuni.
Sebanyak 47 menara perumahan mempunyai 2,280 unit, dengan setiap unit berkeluasan 98 meter persegi dan setiap menara setinggi 12 tingkat.
Tingkat satu dan dua digunakan untuk kemudahan awam, manakala 10 tingkat selebihnya adalah untuk perumahan dan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur.
Sebanyak 31 menara diperuntukkan untuk kakitangan awam yang mengandungi 1,860 unit, tujuh menara untuk anggota Polis Nasional (Polri) dan Badan perisikan Negara (BIN), manakala, sembilan menara selebihnya untuk pegawai Pasukan Pengamanan Presiden (Paspampres), sekaligus bertambah kepada 960 unit.
Kementerian PUPR terus bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan menara-menara perumahan ini, yang mengadaptasi konsep rumah pintar, dihubungkan dengan kemudahan sokongan seperti rangkaian peruncit, perkhidmatan ekspedisi, serta perkhidmatan perbankan.-AGENSI