PARIS: Sebuah bot yang membawa puluhan pelarian tenggelam di pesisir pantai Perancis, di Selat Inggeris, sehingga mengakibatkan 12 orang maut, termasuk enam kanak-kanak dan seorang wanita hamil.
Menurut pejabat pendakwa raya tempatan, daripada jumlah mangsa yang terkorban, 10 daripadanya adalah wanita dan dua lelaki.
Lebih 50 orang diselamatkan berhampiran Cape Gris-Nez, dekat Boulogne-sur-Mer, lapor pengawal pantai Perancis dengan dua daripada mangsa yang terselamat kini berada dalam keadaan kritikal.
Pegawai melaporkan bot tersebut membawa muatan berlebihan sehingga menyebabkan bahagian bawahnya bocor, manakala hanya lapan penumpang di atas bot tersebut yang memakai jaket keselamatan.
Insiden ini merupakan bencana paling dahsyat yang direkodkan di Selat Inggeris pada tahun ini.
Pendakwa Raya tempatan, Guirec Le Bras, berkata, pihaknya percaya mangsa yang terkorban berasal dari Eritrea, walaupun mereka belum dapat menentukan kewarganegaraan yang tepat.
Sebelum ini, 30 orang dilaporkan maut ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris pada tahun 2024, angka tertinggi sejak 2021, apabila 45 kematian dicatatkan, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gérald Darmanin, berkata, pihak berkuasa Perancis berjaya menghalang 60 peratus percubaan pelayaran bot kecil.
Namun begitu, penyeludupan manusia didapati menyumbat sehingga 70 orang dalam bot yang hanya boleh memuat antara 30 hingga 40 orang sehingga menyebabkan nahas kapal yang membawa maut.
Sementara itu, Setiausaha Dalam Negeri UK, Yvette Cooper, menyifatkan insiden ini sebagai mengerikan dan sangat tragis.
Beliau menyifatkan dalang yang berada di belakang jenayah pemerdagangan manusia ini semakin tidak berperikemanusiaan, menyumbat lebih ramai orang dalam bot yang semakin tidak layak untuk belayar, dan menghantar mereka ke Selat Inggeris walaupun dalam keadaan cuaca yang sangat buruk.
Lebih 21,000 orang menyeberangi Selat Inggeris dengan jumlah ini lebih banyak berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya, tetapi kurang berbanding tahun 2022 dengan sebanyak 45,755 orang menyeberangi Selat Inggeris, jumlah tertinggi sejak angka tersebut mula direkodkan pada tahun 2018. -AGENSI