KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) memilih jalan sukar untuk meneruskan cabaran dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) apabila seri 2-2 dengan Dong A Thanh Hoa FC di laman sendiri, malam ini.
Pemain sayap, Akhyar Rashid membuka tirai jaringan apabila bijak melepasi kawalan dua pertahanan lawan dan melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-20.
TFC kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-41 menerusi pemain tengah, Manuel Ott yang menolak masuk bola umpanan Azam Azmi Murad dari sebelah kanan.
Memasuki masa tambahan babak pertama, Thanh Hoa FC mengurangkan defisit gol setelah bola sepakan percuma Luis Antonio Suares berjaya mengelirukan Mohd. Suhaimi Hussin.
Skuad Penyu berpeluang menambah kelebihan namun sepakan Ott di kawasan berbahaya Thanh Hoa FC tepat ke dakapan penjaga gol lima minit bersambung babak kedua.
Kesempatan itu diambil pelawat untuk menyamakan kedudukan setelah bek tengah TFC, Ubaidullah Shamsul Fazili (m-52) tertolak bola masuk ke gawang sendiri berpunca tandukan Gustavo Santos.
TFC terus kempunan apabila sepakan bebas Marin Pilj minit ke-74 terkena tiang disusuli percubaan Ubaidullah pada minit ke-76 dikeluarkan di atas garisan gol oleh pemain lawan.
Ketumpulan penyudah menyaksikan TFC mensia-siakan kelebihan dua gol untuk perlawanan berakhir seri 2-2 dan berpuas hati dengan satu mata daripada dua perlawanan.
Lain-lain keputusan Kumpulan A menyaksikan BG Pathum United menang 2-1 ke atas Svay Rieng FC manakala PKM Makassar mengalahkan Shan United, 4-3. – UTUSAN