PETALING JAYA: Lee Zii Jia menjadi harapan terakhir Malaysia untuk memburu pingat emas pertama dalam sukan badminton, selepas pemain perseorangan lelaki No. 1 negara itu mara ke separuh akhir pada Sukan Olimpik 2024 Paris, sebentar tadi.
Pemain No. 7 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas jaguh No. 3 dunia, Anders Antonsen dari Denmark 21-17, 21-15 dalam masa 53 minit pada suku akhir di Arena Porte De La Chapelle.
Untuk aksi separuh akhir esok, anak jati Alor Setar, Kedah itu bakal berdepan wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang menghuni ranking No. 8 dunia.
Bintang muda Thailand itu mengejutkan jaguh No. 1 dunia, Shi Yu Qi dari China 21-12, 21-10 dalam satu lagi suku akhir.
Kejayaan Zii Jia itu sekali gus menghidupkan kembali harapan Kontinjen Malaysia yang meletakkan badminton sebagai sasaran menjelmakan pingat emas pertama negara.
Bagaimanapun, kegagalan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang sebelum ini diletakkan sebagai sandaran utama emas negara terkandas di separuh akhir setelah tewas kepada beregu No. 1 dunia dari China, Wang Liang Keng-Wang Chang 19-21, 21-15, 17-21, kini harapan beralih kepada Zii Jia pula.
Zii Jia berkata, masih terlalu awal untuk meraikan kejayaannya mara ke separuh akhir kerana esok, perlawanan lebih sukar menantinya.
“Berdepan Kunlavut tidak mudah, dia gemar bermain rali yang panjang dan saya harap dapat bersedia sepenuhnya menjelang separuh akhir, esok,” katanya ketika di temu bual selepas perlawanan tamat.
Mengulas pula mengenai aksinya berdepan Antonsen, Zii Jia memberitahu, dia sedia maklum pemain Denmark itu sanggup melakukan apa sahaja untuk menang, tetapi pada Sukan Olimpik apa sahaja boleh berlaku.
Kemaraan Zii Jia ke separuh akhir turut memperbaiki pencapaiannya pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik 2020, Tokyo, Jepun apabila langkahnya tersekat di peringkat 16 terbaik. – UTUSAN