SUBANG JAYA: Dalam usaha memperkembangkan kesihatan dan kesejahteraan warga emas, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan menjadikan Perlis dan Kelantan sebagai destinasi mereka untuk mempromosikan perkara berkenaan.
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, langkah berkenaan sejajar dengan visi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas sekali gus memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan terbabit sentiasa terpelihara.
“Kita ada lebih kurang 3,100 ahli dan kebanyakkannya lebih berusia 50 tahun ke atas. Kita sudah melakukannya di Johor Bahru baru-baru ini dan selepas ini kita akan ke Perlis.
“Kita akan memperkenalkan bekas atlet ini untuk melakukan aktiviti (senaman dan bersukan) bersama warga emas di daerah atau kawasan perumahan mereka,” kata Noorul kepada pemberita ketika program Konvoi Jiwa Merdeka 2024 di pusat membeli-belah, di sini, hari ini.
Program terbabit disertai oleh YAKEB bersama beberapa pihak swasta yang terlibat bersempena Hari Kemerdekaan ke-67 yang mana menghimpun tujuh bekas atlet kebangsaan.
Antara atlet terbabit ialah bekas pemain badminton negara, Goh Liu Ying, Datuk Foo Kok Keong dan Datuk Rashid Sidek serta Datuk Marina Chin (olahraga), Datuk Zaiton Othman (olahraga); Datuk Dollah Salleh (bola sepak) dan Datuk Malek Noor (bina badan).
“Program hari ini, kita membawa tujuh legenda ini untuk menyertai konvoi bersama kereta klasik. Sambutan sangat baik dan ramai mengimbau kembali kejayaan dan pengorbanan bekas atlet ini.
“Kita juga mengadakan aktiviti sesi beramah mesra bersama legenda ini dan bakal membantu bagi memupuk semangat kesukanan bagi warga emas,” ujarnya.
Awal Ogos lalu, YAKEB berkunjung ke Johor Bahru bagi menyalurkan maklumat mengenai peranan yang boleh diambil bekas atlet sebagai ‘ejen’ terbaik untuk menjayakan sukan warga emas.
Program itu turut disertai oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman itu berjaya menarik 100 peserta yang terdiri daripada bekas atlet dan ahli keluarga mereka. – UTUSAN