Tiga kelab culas bayar gaji, KWSP, LHDN dan Perkeso

Tiga kelab culas bayar gaji, KWSP, LHDN dan Perkeso

PENGERUSI First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga kelab Liga Super sah mempunyai tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Mei dan Jun 2024.

Perkara itu dikesan oleh pihak Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) selepas melakukan pemeriksaan terhadap dokumen yang diserahkan semua kelab Liga Super sebelum tarikh akhir pada 16 Julai lalu.

FFP FIB dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa pertama dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula musim 2024-2025.

Berdasarkan pemeriksaan dokumen laporan kewangan itu, FFP FIB mendapati lapan kelab berjaya menyerahkan laporan kewangan pertama FFP dengan lengkap tanpa sebarang tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS Perkeso setakat Jun 2024.

“Bagaimanapun terdapat dua kelab yang tidak menghantar laporan kewangan pertama FFP pada tarikh akhir 16 Julai 2024, namun berjaya menyelesaikannya selepas diberikan lanjutan masa sehingga 31 Julai 2024 oleh pihak FIB FFP.

“Daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan semua kelab, didapati bahawa tiga kelab mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS bagi Mei dan Jun 2024 manakala dua kelab lagi perlu menghantar dokumen kewangan tambahan.

“Kesemua kelab terbabit diarahkan oleh FFP FIB untuk menyelesaikan tunggakan dan menyerahkan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 15 Ogos 2024.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelab berkenaan dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang,” kata FFP FIB dalam kenyataan itu.

Sebagai rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab pasukan untuk memastikan akaun mereka kekal sihat daripada hutang melampau.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggunakan model ECP supaya pasukan dapat mengawal perbelanjaan mereka sekaligus mereka tidak berbelanja melebihi apa yang sepatutnya.

Mula diperkenalkan pada 2020, tujuan ECP adalah untuk mewujudkan peraturan belanjawan, kriteria, prosedur dan templat pasukan Liga M bagi mematuhi peraturan selain mengelakkan mereka berbelanja secara berlebihan berdasarkan kemampuan mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN