Tiada penyelewengan peruntukan kepada persatuan sukan

Tiada penyelewengan peruntukan kepada persatuan sukan

MOHD. NAZIFUDDIN NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia(MOM) menegaskan bahawa dana kerajaan yang disalurkan kepada persatuan sukan adalah melalui proses yang sangat terperinci dan ketat.

Proses penilaian ini mengambil kira keperluan sebenar atlet serta program pembangunan yang dirangka oleh setiap persatuan sukan.

Setiausaha Agung MOM,Datuk Nazifuddin Najib, menyatakan bahawa dana tersebut tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada mana-mana persatuan sukan tanpa melalui prosedur yang ketat.

Menurut Nazifuddin, peruntukan dana ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja yang turut melibatkan kerjasama antara persatuan sukan, Institut Sukan Negara (ISN), dan MOM.

“Setiap peruntukan dana perlu mendapat kelulusan jawatankuasa kerja yang telah ditubuhkan khusus untuk menilai keperluan persatuan sukan. Kita pastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk kebaikan dan pembangunan sukan di negara ini,” kata Nazifuddin.

Beliau turut menegaskan bahawa dana tersebut tidak boleh digunakan sesuka hati oleh persatuan sukan.

Sebaliknya, dana tersebut haruslah digunakan berdasarkan keperluan atlet, terutama sekali untuk persediaan menghadapi kejohanan-kejohanan utama yang melibatkan atlet elit negara.

“Proses peruntukan ini sangat teliti. Kita tidak akan memberikan dana secara sembarangan, terutamanya jika persatuan tersebut tidak mempunyai atlet elit yang akan menyertai kejohanan utama.

“Ini adalah untuk memastikan dana yang diperuntukkan digunakan dengan bijak,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa persatuan sukan yang mempunyai atlet bertaraf elit dan akan bertanding di peringkat antarabangsa diberi keutamaan mendapatkan dana.

“Ini adalah untuk memastikan mereka mendapat persiapan yang secukupnya untuk menghadapi kejohanan berprestij,” ujarnya.

Tambahnya, tanpa adanya atlet elit dan kejohanan utama yang bakal disertai, alokasi dana tidak akan diberikan sewenangnya.

“Ini kerana keutamaan kita adalah untuk memberi sokongan penuh kepada atlet yang mempunyai potensi besar untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya