PETALING JAYA: Kegagalan menghadirkan pingat dalam dua edisi Sukan Olimpik berturut-turut memberi ‘mesej’ jelas kepada skuad terjun negara untuk mencari pelapis baharu berkualiti dan mampu kembali membutir pingat buat Malaysia di temasya terbesar dunia itu.
Ketika penerjun China silih berganti menerusi penampilan atlet muda namun Malaysia masih menaruh kudrat kepada Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri untuk terus memburu pingat kepada negara.
Pengharapan itu bagaimanapun sudah tidak mampu digalas oleh mereka terutama selepas penyumbang pingat dalam dua edisi sebelum ini Pandelela terlepas peluang untuk beraksi di temasya itu.
Manakala Dhabitah yang menjadi wakil tunggal penerjun wanita negara bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 menamatkan cabaran dikedudukan terakhir pada final acara 3 meter papan anjal individu wanita semalam.
Pandelela menyertai Sukan Olimpik buat kali pertama di Beijing 2008 pada usia 15 tahun, dia menduduki tempat ke-27 acara 10m platform manakala Chen Ruolin dari China berusia 16 tahun telah merangkul pingat emas.
Sukan Olimpik London 2012, Ruolin yang berusia 20 tahun menyumbang emas lagi untuk China menerusi acara yang sama manakala Pandelela pada usia 19 tahun ketika itu merangkul gangsa pertama negara dalam acara terjun.
Begitupun, kemerosotan prestasi skuad terjun negara di pentas antarabangsa bermula selepas jurulatih dari China Yang Zhuliang dilepaskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Zhuliang merupakan individu yang bertanggungjawab melahirkan jaguh-jaguh dunia seperti Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas, Datuk Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong dan Datuk Pandelela Rinong.-UTUSAN