KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) enggan berputih mata dan optimis mampu mara ke pentas akhir Piala FA meskipun sedar bakal diberi tentangan sengit Selangor pada separuh akhir kedua, malam ini.
Menurut ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, bekalan satu gol yang dibawa memang tidak cukup namun menyifatkan skuad kendaliannya datang dengan motivasi terbaik ke Petaling Jaya.
Malah isu kecederaan melibatkan tonggak pertahanan, Alif Zakaria dan Safwan Mazlan serta penyerang, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade hanya menguatkan lagi semangat skuad Penyu.
Namun Steinbruckner menegaskan TFC terlebih dahulu harus menampilkan prestasi lebih baik berbanding perlawanan terdahulu menentang Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Perlawanan separuh akhir pertama (3-2) bukan keputusan yang sempurna atau diimpikan tetapi masih memihak TFC untuk aksi timbal balik dan kami harus mempertahankan kelebihan itu.
“Mereka (Selangor) masih memerlukan dua gol dan TFC akan tetap turun dengan corak permainan kami sendiri untuk mencipta peluang serta melebarkan kedudukan agregat.
“Apa yang penting benteng pertahanan kami harus lebih baik lagi jika mahu mencapai sasaran ditetapkan iaitu mara ke perlawanan akhir Piala FA,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan TFC, semalam.
Persiapan finalis Piala FA 2022 itu tampak terarah kepada jentera serangan dengan Steinbruckner tidak menolak kemungkinan mempertaruhkan Chukwu Chijioke untuk merobek pintu gol Selangor.
Penyerang ‘bidan terjun’ itu yang beraksi bersama TFC II dalam Piala MFL mencetak dua gol untuk skuad utama TFC termasuk ketika mengalahkan Negeri Sembilan, Selasa lalu.
Selain itu fokus juga diberikan di bahagian benteng apabila Shahrul Nizam Roshasni bergelut dengan isu kecergasan ketika aksi pemain import, Matthew Steenvoorden pula tampak kurang meyakinkan.
“Sebaik wisel penamat dengan Negeri Sembilan dibunyikan, saya terus merencana percaturan terbaik untuk bertemu Selangor dengan memberi tumpuan kepada aspek kecergasan.
“Apa yang melegakan moral pasukan pada tahap terbaik dan kami semua mahu ke final sekali lagi sambil berharap permainan tidak diheret ke masa tambahan atau penentuan penalti,” ujarnya.-UTUSAN