SEOLAH-olah berada di taman fantasi. Itu pengalaman yang dirasai pengunjung saat menjejakkan kaki ke Tasik Melati di Kangar, Perlis.
Suasana sunyi sepi pada waktu malam sebelum ini bertukar meriah dengan limpahan cahaya apabila sebanyak 150,000 kuntum bunga berlampu pelbagai konsep menghiasi tasik berkenaan.
Penganjuran pesta cahaya terbesar di negeri ini yang bermula dari 20 Julai sehingga 12 Ogos depan anjuran Trident Event Management itu menyajikan pengalaman cukup berharga buat para pengunjung.
Pesta cahaya berkenaan menampilkan 10 konsep yang cukup mempesona antaranya awan fantasi yang berkabus seolah-olah seperti berada di dunia lain, jambatan pelangi, taman fantasi, taman tulip dan ros, laman pelangi, itik gergasi, kamera 360, glowing bridge, love lane dan taman kelip-kelip.
Penganjur pesta berkenaan, Lin Nordin berkata, pesta itu berjaya menghidupkan suasana malam di Tasik Melati yang sebelum ini sunyi sepi.
Katanya, lampu yang menghiasi jambatan-jambatan di tasik berkenaan cukup memukau seolah-olah berada di taman fantasi.
Ujarnya, sambutan amat memberangsangkan terutama pada hujung minggu yang merekodkan lebih 2,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri ini.
“Melihat kepada sambutan itu, kita menyasarkan lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga minggu pesta berlangsung. Selain itu, kita juga menyediakan pelbagai tarikan lain seperti pameran dinosaur.
“Pengunjung berpeluang bersiar-siar di tasik sambil menikmati suasana bercahaya selain turut menyajikan lokasi-lokasi menarik untuk merakamkan gambar,” katanya.
TARIKAN PENGUNJUNG
Tambah Lin, sambutan cukup menggalakkan dengan hari pertama sahaja lebih 2,500 pengunjung hadir dan jumlah itu terus meningkat khususnya pada hujung minggu.
Katanya, pengunjung bukan sahaja dari negeri ini sebaliknya turut menarik kehadiran pengunjung luar seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain Thailand.
“Kami juga sebenarnya terkejut apabila sambutan diterima pada hari pertama penganjuran begitu memberangsangkan sehingga menyebabkan keadaan jalan masuk ke sini sesak,” katanya.
Tambah Lin, pengunjung juga berpeluang menikmati beberapa tarikan lain seperti pameran dinasaur, super doopa, super doopa kolam, kereta mainan bercahaya dan pelbagai lagi.
Katanya, tiket yang dikenakan adalah RM8 untuk dewasa dan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.
Manakala bagi pameran dinasour pula pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM7.
“Pesta cahaya bermula dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam manakala gerai makanan serta jualan dibuka seawal pukul 5 petang,” katanya.
Sementara itu, Lin berkata, pihaknya memilih Tasik Melati bagi menganjurkan pesta lampu itu bagi menaikkan suasana di lokasi berkenaan yang kebiasaannya suram pada waktu malam.
“Pasukan kami membuat persediaan selama tiga minggu bagi menghiasi kawasan tasik ini dengan bunga berlampu dan pencahayaan menarik. Kami menganjurkan pesta ini juga bagi menyokong penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 sekali gua turut membantu menarik pengunjung ke negeri ini,” katanya.
Kata Lin lagi, dia sebelum ini pernah menganjurkan pesta lampu di beberapa negeri lain dan sambutan yang diterima sememangnya amat menggalakkan.
“Kita juga merancang untuk menganjurkan pesta lampu di Selangor selepas ini dengan skala lebih besar. Kita cuba untuk membawakan konsep-konsep baharu dalam memberikan kelainan kepada pengunjung,” katanya.
MEMPESONA
Seorang pengunjung, Aishah Abd. Rahman, 21, tidak melepaskan peluang melawat destinasi itu bersama rakan-rakannya.
Kunjungan itu berbaloi kerana seolah-olah membawa mereka ke taman kayangan.
“Di runagan awan fantasi, kami seperti berada di bawah awan dengan suasana berkabus.
“Menariknya, kita juga dapat meniti jambatan yang bercahaya. Pengalaman ini sangat menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Seri Zalwa Mohd. Tamin, 23, pula berkata, pesta cahaya Tasik Melati yang julung kali itu cukup unik sekali gus mengubah suasana malam.
“Daripada suasana sunyi ia berubah menjadi taman kayangan atau fantasi yang bercahaya indah seperti melangkah ke dunia lain,” katanya.