PETALING JAYA: Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak sabar untuk membuat perhitungan bersama pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada aksi suku akhir Terbuka Korea Selatan 2024, hari ini.
Menurut Tang Jie beliau bersama Ee Wei tekad mahu mengatasi kekecewaan selepas tewas pada perlawanan suku akhir di Malaysia Masters kepada pasangan suami isteri itu, Mei lalu.
“Saya sangat teruja dapat lawan dengan mereka (Soon Huat-Shevon) semula pada aksi suku akhir nanti (hari ini). Saya tidak mahu fikir banyak tentang perlawanan esok.
“Justeru, saya tidak kisah lawan saya di hadapan nanti. Apa yang penting saya bersama Ee Wei mahu kekal fokus untuk menempuh cabaran yang berliku,” kata Tang Jie.
Semalam, pasangan No.9 dunia itu berjaya meneruskan kemaraan mereka ke suku akhir Terbuka Korea Selatan apabila menewaskan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-19 manakala Soon Huat-Shevon turut menewaskan wakil Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun 21-13, 21-17.
Sementara itu, Soon Huat berpuas hati dengan perlawanan mereka semalam selepas berjaya mempamerkan permainan konsisten biarpun hadir ke gelanggang tanpa keberadaan jurulatihnya.
“Saya rasa kita dari set pertama dan kedua kami mengawal permainan dengan bagus. Kami cuba kurangkan kesilapan demi kesilapan untuk mengutip mata sekali gus lebih konsisten,” jelas Soon Huat.
Dalam pada itu, nasib berbeza untuk pasangan profesional negara, Tan Kia Meng-Lai Pei Jing apabila tersingkir saingan pusingan kedua kepada wakil Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang selepas bangkit menerusi pertemuan rubber set 21-14, 16-21, 14-21 selama 53 minit.-UTUSAN