GEORGE TOWN: Taman Botani Pulau Pinang akan terus dibuka kepada orang awam sepanjang tempoh pembinaan projek kereta kabel Bukit Bendera yang dijangka siap menjelang Jun 2026.
Jurucakap Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berkata, ini kerana, hanya pusat penjaja semasa dan tempat letak kereta berhadapan dengan pejabat Jabatan Taman Botani serta kawasan tempat letak kereta di luar taman berkenaan yang akan ditutup sementara kepada orang ramai semasa fasa pembinaan projek terbabit.
“Justeru, pengunjung digalakkan untuk meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta Taman Bandaraya (Youth Park) atau tempat letak kereta Kuil Arulmigu Balathandayuthapani yang terletak berdekatan dengan Taman Botani.
“Dalam hal ini, PBBPP akan terus bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mencari penyelesaian bagi menyediakan lebih banyak ruang letak kereta untuk kemudahan pengunjung, terutama pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya di sini, hari ini.
Projek kereta kabel Bukit Bendera itu dijangka melibatkan jarak sepanjang 2.73 kilometer (km) dengan tiga buah stesen dibina iaitu stesen taman, gelung belokan, dan stesen bukit.
Jajaran kereta kabel itu pula akan bermula dari Stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Sementara itu, jurucakap yang sama berkata, pusat penjaja akan dipindahkan ke tapak sementara bersebelahan pejabat Taman Botani Pulau Pinang.
“Peralihan ini dijadual berlangsung pada penghujung September 2024 bagi memastikan penjaja dapat meneruskan perniagaan mereka tanpa sebarang gangguan.
“Tapak pusat penjaja sekarang akan diubah menjadi tempat letak kereta bertingkat dan kompleks komersial dan setelah siap, penjaja yang kini beroperasi di pusat penjaja sementara akan berpindah ke kompleks komersial,” katanya yang memberitahu, kompleks komersial itu akan menyediakan lebih banyak kemudahan moden untuk pengunjung, pejalan kaki, dan komuniti selepas ini.
Tambah beliau, PBBPP sentiasa menitikberatkan keselamatan orang awam dan akan memastikan semua standard dan prosedur keselamatan dipatuhi hasil jalinan kerjasama dengan syarikat konsesi projek kereta kabel, Hartasuma Sdn. Bhd..
“Sehubungan itu, PBBPP memohon kerjasama orang awam untuk mematuhi arahan keselamatan dan papan tanda yang dipasang di tapak tersebut,” katanya.-UTUSAN