PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul juara Terbuka Jepun selepas menundukkan bekas juara dunia dari Korea Selatan, sebentar tadi.
Pasangan No. 12 dunia itu menewaskan gandingan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi permainan straight set 21-19, 21-15 dalam tempoh 45 minit.
Pada aksi di Arena Yokohama itu, Sze Fei-Nur Izzuddin menguji kemampuan juara dunia itu untuk mengikat kedudukan 18-18 sama sebelum menang set pertama 21-19.
Pada set kedua, beregu Korea Selatan itu cuba mempertingkatkan gaya permainan namun tidak mampu untuk menyekat perjuangan pasangan negara.
Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya menjarakkan mata dengan mendahului 19-14 pada satu ketika sebelum menoktahkan kemenangan 21-15.
Mereka membawa pulang AS$62,900 (RM275,226) iaitu wang kemenangan terbesar mereka setakat ini.
Untuk rekod, ini merupakan kejohanan terakhir beregu ini di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mereka memilih untuk bergerak sebagai pemain profesional bermula September ini. – UTUSAN