Sze Fei-Izzuddin dilepaskan BAM pada 1 September

Sze Fei-Izzuddin dilepaskan BAM pada 1 September

GOH Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddi bergambar di podium selepas kemenangan mereka menentang pemain Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae semasa perlawanan akhir beregu lelaki kejohanan badminton Terbuka Jepun di Arena Yokohama. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju untuk melepaskan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bermula 1 September ini, selepas mereka melahirkan hasrat untuk bergelar pemain profesional.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu menerima baik keputusan beregu No. 12 dunia tersebut yang mahu bergerak bebas.

“Saya rasa semua orang sudah tahu mengenai hasrat Sze Fei-Izzuddin yang meminta untuk keluar daripada BAM.

“Selepas berfikir semasak-masaknya, kami memahami dan menghormati keputusan mereka untuk menjadi pemain profesional dan kami bersetuju melepaskan Sze Fei-Izzuddin berkuatkuasa 1 September ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Minggu lalu, tersebar perkhabaran yang menyatakan Sze Fei-Izzuddin berhasrat meninggalkan BAM bagi meneruskan karier mereka sebagai pemain profesional.

Beregu No. 2 negara itu sebelum ini pernah berpisah pada Januari, tahun lepas, sebelum mereka kembali disatukan enam bulan selepas itu.

Ketika ini, Sze Fei-Izzuddin berada di Yokohama Kanagawa, Jepun bagi menyertai Terbuka Jepun dan minggu depan, mereka akan beraksi pada Terbuka Korea yang bakal menjadi kejohanan terakhir selaku pemain yang berada di bawah naungan BAM.

Sebentar tadi, Sze Fei-Izzuddin mara ke perlawanan akhir Terbuka Jepun, selepas menundukkan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-17 pada peringkat empat terbaik.

Pasangan Korea Selatan yang menghuni ranking No. 4 dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menanti mereka di pentas akhir selepas menewaskan satu lagi beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 12-21, 21-15, 21-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN