KUCHING: Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang ditutup kelmarin berjaya mencapai matlamat penganjurannya dengan menyaksikan makin ramai atlet muda mula menyerlahkan potensi sebenar.
Tujuh rekod kebangsaan dan 21 rekod kejohanan berjaya dipecahkan sekaligus menandakan perkembangan positif buat perkembangan sukan negara.
Ucapan terima kasih buat Sarawak wajar diberikan atas usaha berterusan untuk menyediakan fasiliti terbaik untuk membantu atlet membina nama dalam arena sukan negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pihaknya berbangga dalam melangsungkan Sukan 2024 dengan sempurna sekaligus menepati hasrat utama untuk melahirkan lebih ramai atlet cemerlang buat Malaysia.
“Anak-anak kita dari Perlis ke Sabah bersama-sama dengan rakan kita dari Brunei berkampung di Sarawak, mereka sudah pamerkan semangat keakraban yang begitu tinggi. Hakikatnya semangat perpaduan anak muda begitu menyerlah dan mereka juga bersaing dengan semangat kesukanan tinggi.
“Ada dikalangan mereka mencipta rekod baharu, bagi pihak rakan-rakan di Sarawak saya ucap tahniah kepada seluruh atlet yang sudah berjaya pada sukma kali ini. Saya percaya semangat kesukanan, perpaduan, dedikasi, disiplin tinggi akan beri masa depan cerah, bukan saja kepada anak muda tapi seluruh rakyat Malaysia.
“Sarawak sedia untuk bantu bangunkan sukan di seluruh negara. Sarawak sudah berikan khidmat terbaik, mudah-mudahan akan jadi tanda aras dalam kita mahu memupuk persaudaraan.
“Tidak ada yang sempurna tetapi kalau ada kekurangan, saya minta maaf tetapi keseluruhannya kita sudah berikan yang terbaik untuk anak-anak Malaysia,” katanya.
Melihat semula penganjuran kali ini, acara di kolam renang dan angkat berat menjadi dua pertandingan yang sering menghadirkan catatan baharu malah turut mencuri perhatian pastinya membabitkan olahraga yang merekodkan satu rekod kebangsaan.
Bagaimanapun, kesemua kontinjen harus kekal bekerja keras memandangkan masih lagi wujud dominasi besar dalam beberapa acara seperti yang dapat dilihat penguasaan Pahang dalam sukan menembak.
Selepas ini Sarawak pastinya akan jadi pemegah taruh penting kepada arena sukan negara selepas kerajaan persekutuan sudah pun bersetuju untuk memberikan hak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Terima kasih Sarawak!
Kapsyen
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kiri) menyampaikan piala Juara Keseluruhan SUKMA ke-21 yand disandang Sarawak pada Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 2024 yang berlansung di Stadium Perpaduan Petra Jaya kelmarin.- UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI