Suami buang mayat isteri, anak dalam longkang selepas bunuh

Suami buang mayat isteri, anak dalam longkang selepas kelar leher mereka

bunuh
Anggota polis dan pasukan forensik memeriksa mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun di Pantai Leman, Kuala Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki Rohingya dipercayai  membuang mayat isteri dan dua anaknya dalam longkang selepas membunuh dengan kelar leher mereka dalam kejadian Kuala Kedah pada Ahad lalu.

Ini ekoran penemuan satu lagi mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun di Pantai Leman, Kuala Kedah di sini dipercayai turut menjadi mangsa bunuh suspek warga asing dalam kejadian kelmarin.

Sebelum ini dua mayat ditemukan dalam sebuah longkang di belakang bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini pada petang Ahad.

Kedua-dua mayat terbabit ditemukan bersebelahan antara satu sama lain dalam keadaan tertiarap dan terlentang, manakala terdapat kesan kecederaan pada salah seorang mereka.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat kanak-kanak yang ditemukan terdampar oleh orang awam yang berada di pantai itu kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, keadaan fizikal kanak-kanak terbabit ditemukan sempurna, namun terdapat kesan kelar di leher yang sama seperti dialami dua beranak berusia 34 dan 10 tahun.

“Polis sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang turut dibunuh pada Ahad lalu.

“Ini kerana suspek memang memiliki tiga anak dan salah seorang daripadanya belum ditemukan sebelum ini, suspek dipercayai membuang mangsa ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi pembunuhan sebelum hanyut ke laut.

“Seorang lagi anak lelakinya yang berusia lima tahun berjaya diselamatkan polis ketika suspek diberkas malam tadi,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Terdahulu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang semalam.

Suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini pada pukul 9.20 malam tadi dan kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdapat kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa warga asing berusia 34 dan 10 tahun itu yang merupakan isteri dan anak kepada suspek. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN