Struktur harga tidak pernah dikaji punca beras tempatan tiada di pasaran

Struktur harga tidak pernah dikaji punca beras tempatan tiada di pasaran

Seorang pelanggan membuat pilihan semasa membeli Beras Putih Import (BPI) ketika tinjauan stok beras putih di sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini. – utusan/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekalan beras putih tempatan (BPT) di negara ini sebenarnya ada banyak, namun struktur harga lama yang tidak pernah dikaji sejak 2008 dipercayai antara punca stok itu kelihatan tiada di pasaran.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Azman Mahmood berkata, pengeluaran beras ketika ini sudah mencapai 62 peratus.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada kekurangan BPT masih disebabkan isu ‘permainan’ kartel pembekal atau kegiatan penyorokan stok oleh peruncit.

Secara purata jelasnya, sebahagian besar petani d lapangan masih lagi tidak mengeluh meskipun mereka yang tertekan kerana kos pengeluaran makin tinggi.

“Pengguna pula ‘bising’ kata mahal apabila harga BPT bukan lagi RM26 bagi sekampit 10 kilogram namun tidak sedar industri kena tanggung kos tiada keseimbangan,” tambahnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Masalah kekurangan BPT disentuh dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 kerana gagal mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) serta penyusutan sawah padi di seluruh negara.

Pada November 2023, Badan Kawalselia Padi dan Beras mencadangkan harga siling BPT naik kepada RM3.20 sekilogram berbanding cuma RM2.60 yang ditetapkan 16 tahun lalu dan isu itu bakal dimuktamadkan akhir Oktober depan.

Tahun lepas Malaysia mengimport 1,112,501 tan manakala keperluan beras tahunan pula sudah pun mencecah 2,517,461 tan.

Justeru ujarnya, KPKM telah membentuk satu pasukan khas yang bakal membentangkan laporan isu tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hujung tahun ini.

Malaysia katanya, dilihat agak ketinggalan kerana masih melaksanakan dua kali musim penanaman padi setahun berbanding negara-negara jiran yang sudah pun empat musim.

Sehubungan itu, pihak KPKM telah berusaha melakukan pelbagai langkah jangka pendek antaranya ialah Projek Rintis Pembajaan Tepat di Jelapang Padi mulai pada 1 Julai lalu melibatkan empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dengan peruntukan RM100 juta untuk satu musim penanaman padi selama enam bulan.

Azman turut memaklumkan pengenalan sistem warna lampu isyarat yang dibentuk bahagian itu bagi menilai prestasi kawasan jelapang padi seluruh Malaysia mengikut purata hasil.

“Jika dilihat, Sekinchan di Selangor paling berjaya kerana antara rahsianya ialah pesawah di situ ‘boikot’ rakan mereka yang gagal capai tuaian empat tan setiap hektar,” jelasnya.

Langkah itu katanya, mungkin tampak keterlaluan namun ia menjadi motivasi kepada para petani untuk bersaing secara sengit mendapatkan pengeluaran lebih baik setiap musim.

Mereka yang dipulaukan itu tambah beliau, akan bangkit memperbaiki kelemahan diri dan akhirnya kawasan tersebut merekodkan sehingga hasil 15 tan sehektar dalam setahun.

Semangat positif itu katanya, wajar dicontohi lebih 196,000 pesawah negara ini terutama di sejumlah 12 Jelapang Padi yang merangkumi keluasan keseluruhan 637,935 hektar.

Malah dalam nada optimis, Azman berkata, isu kekurangan stok BPT mungkin bukan lagi isu besar apabila hasil penuaian melonjak seiring dengan kos penanaman yang cekap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN