STL 2024 guna format baharu, lebih meriah

STL 2024 guna format baharu, lebih meriah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama pasukan-pasukan bertanding di STL 2024 serta barisan penaja pada musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Sepak Takraw (STL) musim 2024 akan berlangsung dengan format baharu iaitu berkonsepkan Grand Prix (GP) membabitkan 12 pasukan bertanding.

Kejohanan yang dijadualkan bermula 26 Ogos hingga 17 November itu menyaksikan setiap pasukan berpeluang untuk menjadi juara GP mingguan di setiap lokasi STL yang dipilih.

Gelaran keseluruhan akan ditentukan berdasarkan jumlah mata tertinggi yang dikumpul sepanjang musim sekali gus menjanjikan saingan sengit bagi setiap lokasi penganjuran.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, dua pasukan teratas di STL Divisyen 1 akan layak dan berpeluang bermain di STL Premier pada musim ini untuk menjadikan 12 pasukan di STL Premier.

“Seramai 25 orang pemain import dari Thailand akan beraksi di STL Divisyen 1 dan STL Premier nanti menyaksikan paling ramai pemain import dalam sejarah STL.

“Dengan format baru ini, saya yakin setiap pasukan akan merebut tempat untuk dinobatkan sebagai juara GP mingguan dan seterusnya memburu mata untuk ditabalkan sebagai juara keseluruhan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, STL telah berjaya untuk membekalkan pemain berbakat besar untuk skuad kebangsaan.

“STL telah menjadi platform mencungkil bakat sehingga melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti sehingga menjadi jagoan sukan sepak takraw bertaraf dunia.

“Selain menjadi medan terbaik untuk pendedahan pemain sebelum beraksi di peringkat kebangsaan, STL juga telah menjadi lakaran detik kebangkitan dalam sukan ini.

“Revolusi STL sepanjang satu dekad ini telah menyaksikan peningkatan prestasi skuad negara dan paling membanggakan apabila mereka telah meraih kejayaan besar dan bersejarah menewaskan Thailand dalam kategori regu dan bergu pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2024 yang lalu,” kata Hannah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN