PETALING JAYA: Hasrat pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk meraih tempat keempat tidak kesampaian apabila sah diklasifikasikan sebagai disingkirkan (relegated), sebentar tadi.
Pada satu ketika, pelumba berusia 28 tahun itu menduduki tempat keempat, namun insiden perlanggaran yang membabitkan pelumba Jepun, Shinji Nakano serta wakil Britain, Jack Carlin meletakkan Shah Firdaus dalam status REL (disingkirkan).
Difahamkan, pemberian status itu diberi ekoran Shah Firdaus menghalang Nakano terlebih dahulu sebelum berlakunya perlanggaran.
Justeru, keputusan pihak komisar muktamad meletakkan Shah Firdaus dalam status REL manakala Nakano dan Carlin diklasifikasikan sebagai DNF (tidak menamatkan perlumbaan).
Acara final keirin itu menyaksikan pemenang pingat gangsa Tokyo 2020 dari Belanda, Harrie Lavreysen merangkul emas ketiga di Paris selepas menggondol dalam acara pecut individu dan berpasukan.
Pingat perak dan gangsa dibawa pulang oleh kem berbasikal trek Australia menerusi Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer. – UTUSAN