Seramai 154 atlet sertai Mr. Malaysia 2024

Seramai 154 atlet sertai Mr. Malaysia 2024

Ayub Rahmat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 154 atlet dari seluruh negara menyertai Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Ke-53@Mr. Malaysia 2024 di Hotel Thistle.

Presiden Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor (PBBABJ), Datuk Ayub Rahmat berkata, kejohanan itu yang bermula hari ini turut mendapat kerjasama Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).

“Sebanyak 17 kategori dipertandingkan seperti Bina Badan Senior, Bina Badan Junior, Bina Badan Master, ‘Men Athletics Physique’ dan ‘Men Sports Physique’.

“Kejohanan kali ini menampilkan sedikit kelainan kerana memperkenalkan saingan Juara antara Juara bagi dua kategori, iaitu bawah 70 kilogram (kg) dan atas 70 kg,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ayub berharap kejohanan tersebut akan menjadi iltizam kepada semua atlet bina badan di seluruh negara untuk terus berjuang meningkatkan lagi mutu dan kualiti sukan berkenaan.

“Kejohanan ini juga sudah tentu memberi peluang serta ruang kepada seluruh peminat sukan ini untuk bersama-sama menyaksikan kehebatan atlet bina badan di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, terutamanya kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah yang banyak membantu penganjuran kejohanan tersebut.

“Selain itu, PBBABJ juga mengucapkan terima kasih atas sokongan Kementerian Belia dan Sukan, KPRJ Sdn. Bhd., dan Majlis Sukan Negeri Johor dalam memastikan kejohanan yang kali ketiga diadakan di negeri Johor sejak tahun 2005 akan mencapai matlamat dan objektifnya,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada para penaja seperti BS Nutrition Sdn. Bhd., Suria Gym Group Sdn Bhd., Musclefit Supplement Sdn. Bhd., Gorilla Energy, Enrich Fitness Sdn. Bhd., Hammer Pro Industries, Daily Bekal dan Padu Gear yang sentiasa bersama-sama dalam memastikan kejohanan berkenaan tetap unggul dan mampu mencapai prestijnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN