Selangor masih belum 'gagah'

Selangor masih belum ‘gagah’

PEMAIN Selangor, Alvin Fortes diterjah keras oleh pertahanan JDT Feroz Baharudin pada perlawanan akhir Piala FA 2024/25 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC perlu bekerja lebih keras lagi sekiranya memasang impian untuk merebut mana-mana piala yang dipertandingkan di Liga Malaysia (Liga M) pada masa akan datang.

Bukan mahu menidakkan keupayaan anak buah Nidzam Jamil, namun keupayaan Gergasi Merah jauh ketinggalan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika tumpas 1-6 dalam aksi final Piala FA, kelmarin.

Nidzam berkata, kekalahan kepada Harimau Selatan sangat perit untuk diterima, sekali gus menunjukkan beberapa kelemahan perlu diatasi segera sebagai persediaan untuk kejohanan seterusnya.

“Jujur tidak gembira (dengan kekalahan besar kepada JDT). Memang tak gembira, keputusan yang mengecewakan banyak pihak. Ini menunjukkan betapa kami kena kerja keras lagi selepas ini.

“Kena bersiap sedia ke arah lebih baik dan dengan keputusan ini, kami kena betulkan banyak perkara, kena sediakan pasukan dengan lebih baik,” kata pengendali berusia 44 tahun itu.

Nidzam Jamil bercakap dengan pemain-pemainnya.

Mengulas keputusannya untuk menukar penjaga gol dalam aksi final itu, Nidzam berkata, beliau terpaksa membuat pertukaran penjaga gol dengan mengeluarkan Sam Somerville selepas melihat pemain berkenaan berdepan sedikit ‘masalah’.

“Saya telah berbincang dengan jurulatih penjaga gol, barisan kejurulatihan dan melihat bahawa mungkin fokus, ada sesuatu yang berlaku. Jadi, kita cuba untuk mempertahankan Sam dengan melakukan pertukaran.

“Kita memilih untuk meletakkan Azim Al-Amin untuk menyambung baki 20 minit permainan,” kata Nidzam.

Dalam masa yang sama, Nidzam turut memaklumkan bahawa kehilangan perancang tengah, Alex Agyarkwa telah mengubah tempo permainan Selangor sehingga menyaksikan Gergasi Merah tersungkur dengan jaringan besar.

“Kita rancang Alex akan bawa pasukan keluar daripada tekanan daripada pasukan lawan, namun malangnya beliau tidak dapat habiskan perlawanan.

“Kita rasa (kelemahan Selangor adalah) perkara-perkara kecil yang mungkin jika kita lawan dengan pasukan yang kurang matang, mungkin kita boleh kawal.

“Tetapi (berdepan) dengan pasukan yang matang dan bermain di perlawanan akhir setiap tahun sejak 10 tahun lalu, kita tak boleh ada kesilapan-kesilapan kecil. Di saat kita melakukan sedikit kesilapan, mereka akan menghukum kita,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya