ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak sabar bertemu Selangor FC pada perlawanan akhir Piala FA apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, semalam.
Ketua jurulatihnya, Hector Bidoglio mengakui final menentang Selangor semestinya amat dinanti-nantikan para peminat bola sepak tempatan.
“Final menentang Selangor ini adalah ‘dream final’. Semua akan ditentukan dalam tempoh 90 minit perlawanan, JDT harus kekal fokus dengan terus meningkatkan kualiti permainan.
“Saya percaya para pemain sudah bersedia untuk berdepan perlawanan itu walaupun tidak dinafikan ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar,” katanya selepas tamat perlawanan menentang KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Dalam perlawanan itu, JDT berjaya mencetak tiga gol sekali gus mengecewakan KDA FC dengan keputusan agregat 5-1.
Mengulas perlawanan tersebut, biarpun mencatat keputusan 3-0, Bidoglio mengakui ia adalah perlawanan lebih sukar berbanding saingan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman pada 19 Julai lalu.
“Kedah bermain dengan baik pada separuh masa pertama dengan JDT gagal mendapatkan sebarang jaringan walaupun mempunyai beberapa peluang berbuat demikian.
“Namun, pemain menunjukkan aksi baik dan berjaya mendapatkan jaringan pada separuh masa kedua.
“Kita akan bertemu semula dengan KDA FC dalam saingan Liga Super pada 9 Ogos ini dan itu juga pastinya perlawanan yang menarik. Kita akan bersedia,” jelasnya.
Sementara itu, pengendali KDA FC, Nafuzi Zain memberitahu, para pemainnya telah memberikan yang terbaik, khususnya apabila berjaya mengekang asakan JDT pada 45 minit pertama perlawanan.
“Kita mampu beri saingan namun kita tewas dengan JDT dari segi kualiti pemain,” katanya.-UTUSAN