PETALING JAYA: Pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) di pentas akhir Piala FA esok, semenangnya dinantikan oleh penyokong kedua-dua pasukan.
Kehadiran ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil tentunya diharapkan kedua-dua pauskan dan ia akan menjadi pembakar semangat mereka dalam pemburuan trofi berusia 34 tahun yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 1990.
Pemerhati sukan bola sepak, Hasnizam Uzir berkata pelbagai perkara boleh terjadi dan sokongan peminat antara faktor yang bakal membantu pemain untuk menaikkan semangat dan menampilkan persembahan terbaik dalam perlawanan.
“Kehadiran penyokong amat dialu-alukan kerana mereka memang amat diperlukan. Sebenarnya lagi ramai penyokong ia akan buat pasukan semakin motivasi dan bersemangat bermain di atas padang,” katanya.
Katanya, situasi di perlawanan akhir sangat berbeza dengan perlawanan peringkat liga dan mana-mana pemain yang diturunkan nanti perlu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
“Kita boleh terima situasi dalam perlawanan liga tapi kalau dalam pentas final ini biasanya akan lebih (tekanan) dan berbeza. Keputusan di liga dan final tidak boleh dijadikan ukuran kerana apa sahaja boleh berlaku, boleh dikatakan kedua-dua pasukan miliki peluang untuk bergelar juara,” ujarnya.-UTUSAN