Selangor FC harapkan aura MBPJ

Selangor FC harapkan aura MBPJ

Selangor bakal meraih RM1.3 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC perlu menggandakan usaha untuk memastikan tiket final Piala FA menjadi milik mereka dalam aksi separuh akhir kedua menentang Terengganu FC (TFC), malam ini.

Melayan kunjungan TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan mudah kerana skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mempunyai kelebihan selepas menang 3-2 dalam perlawanan pertama.

Ketua jurulatih skuad Gergasi Merah, Nidzam Jamil berkata, anak-anak buahnya perlu memberikan segala-galanya di depan penyokong sendiri untuk memadamkan kelebihan yang dimiliki TFC.

Menurut Nidzam, banyak perkara yang boleh diperbaiki oleh pasukan dalam memastikan keputusan positif dapat dilakar terutama apabila pasukan ketinggalan defisit 2-3 selepas tewas aksi pertama.

“Kita cuba untuk bangkit dengan perbaiki kelemahan yang ada. Bola sepak adalah kombinasi banyak perkara termasuk persiapan, kekuatan mental dan motivasi sebelum mengharungi perlawanan.

“Jika kita dapat rasakan suasana yang bagus (di MBPJ) nanti, tidak mustahil kualiti bola sepak dapat dipertingkatkan dalam memburu keputusan positif,” katanya.

Dalam masa sama, Nidzam juga menyeru agar benteng skuad Merah Kuning kekal ampuh bagi mengelakkan dibolosi sepanjang 90 minit perlawanan di laman sendiri nanti.

“Saya hormat pasukan TFC dan peka dengan masalah yang boleh mereka berikan. Sebelum ini mereka berjaya jaringkan gol menerusi sepakan percuma, dari luar kotak dan kekuatan fizikal penyerang.

“Justeru, banyak kerja rumah yang perlu kami lakukan tetapi dalam masa yang sama tidak adil untuk menidakkan peluang Selangor (untuk ke final),” katanya.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, secara keseluruhan pasukan bersedia menghadapi perlawanan Piala FA menentang TFC selain pemain juga bebas daripada sebarang kecederaan.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan di dalam pasukan dan pemain kelihatan bersemangat untuk menjayakan misi layak ke perlawanan akhir Piala FA 2024,”katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap penyokong setia Merah Kuning akan membanjiri stadium kerana sokongan mereka amat diperlukan dan bakal memberi kekuatan tambahan buat pemain menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN