Sebanyak 488 pingat emas jadi rebutan di Sukma Sarawak

Sebanyak 488 pingat emas jadi rebutan di Sukma Sarawak

BARISAN atlet-atlet basikal yang bertanding di Sukma Sarawak 2024.-IHSAN MSWP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING : Kurang 24 jam saja lagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 akan dibuka secara rasminya dengan satu acara pembukaan penuh gemilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Sarawak, esok.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dijemput sebagai tetamu khas pada majlis perasmian Sukma.

Secara tidak langsung, ia menandakan bermulalah perebutan 488 pingat emas yang ditawarkan dengan 20 daripadanya sudah pun dimenangi menerusi acara berbasikal dan juga wushu.

Hari ini 27 lagi pingat emas ditawarkan iaitu membabitkan sukan berbasikal yang menawarkan dua emas, boling padang (4), taekwondo (5), boling (2) dan wushu (14 pingat).

Pada temasya kali ini, jumlah keseluruhan pingat emas yang ditawarkan adalah membabitkan 236 acara untuk kategori lelaki, 217 (wanita), 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita dan dijangka akan menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

Juara keseluruhan edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur, Johor pastinya menjadi kontinjen yang akan dijadikan pesaing utama diikuti juara lima kali, Terengganu, Selangor malah Sarawak juga bercita-cita untuk bergelar kontinjen terbaik.

Tidak hanya menjadi medan mencungkil pelapis baharu untuk diangkat ke peringkat tertinggi, Sukma juga dilihat menjadi simbol usaha keras, dedikasi, dan semangat juang atlet negara.

Selain menjamin penganjuran yang lebih lancar, elemen keselamatan juga turut dititikberatkan dimana Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sukma, Datu Hii Chang Kee turut mengesahkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai pihak polis sudah ditubuhkan bagi memastikan temasya ini dapat dilangsungkan dengan selamat.

Sejak Sukma yang diperkenalkan pada 1986, Sarawak sudah pun bergelar tuan rumah sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

Selepas penganjuran edisi 2016, sambutan rakyat Sarawak kali ini juga agak menarik selepas orang ramai sanggup beratur seawal enam pagi bagi mendapatkan tiket acara pembukaan yang terpaksa dihadkan selepas mengambil kira kapasiti Stadium Sarawak.

Bagi tuan rumah, wushu dijangka akan menjadi ‘lombong emas’ dimana 28 pingat emas secara keseluruhan ditawarkan dalam sukan berkenaan.

Mengambil kira status selaku tuan rumah, Sarawak menyasarkan untuk memenangi 70 pingat emas selain berhasrat bergelar juara keseluruhan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu yang menggalas tanggungjawab Chef de Mission (CDM) menaruh keyakinan sasaran itu mampu dilunaskan.

“Kami pastinya bersedia menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sarawak. Saya yakin dengan persiapan dan latihan atlet, kita akan mencapai sasaran kita,” katanya.

Dalam masa sama, Sarawak juga berharap Sukma yang akan berlangsung sehingga 24 Ogos ini mampu beri impak besar kepada ekonomi Sarawak khususnya bagi membantu negeri itu mencapai target kemasukan empat juta pelawat.

Sejak Januari hingga Julai lalu, Sarawak sudah pun merekodkan kemasukan pelawat 2,838,572 orang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya