Scammer seperti ‘syaitan’ bermaharajalela di mana-mana

Scammer seperti ‘syaitan’ bermaharajalela di mana-mana

Jenayah dalam talian boleh bemula sebaik sahaja pengguna mengetik jari pada papan kekunci gajet mereka. – GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya amat amat terharu apabila mengendalkan satu kes melibatkan seorang warga emas yang kehilangan wang kira-kira RM20,000 akibat ditipu scammer.

“Warga emas ini bekerja sebagai pengutip barang- barang lusuh dan saya percaya wang tersebut dikumpul sejak dia mula bekerja ketika umur belasan tahun.”

Itu antara peristiwa paling menyayat hati yang pernah dilalui oleh seorang pegawai polis bersara Rahmat Fitri Abdullah.

Beliau yang ketika kejadian merupakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata kepada saya dalam nada sedih, beliau benar benar berang perbuatan scammer berkenaan yang merompak duit mangsa.

Rahmat Fitri berkata, beliau meminta pegawainya menyumbang sedikit wang kepada mangsa berkenaan untuk dia membeli makanan kerana kasihankan nasibnya yang kehilangan wang begitu banyak akibat terpedaya.

Rahmat bersara dengan jawatan akhir sebagai Asisten Suprintendan (ASP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Beliau yang juga Duta Anti Scam PDRM bersara daripada pasukan polis kira-kira sebulan lalu mahu membantu orang ramai supaya tidak terpedaya dengan jenayah penipuan dalam talian itu yang mula dikesan bertapak di negara ini sekitar 2000.

Rahmat Fitri berkongsi kepada saya beliau benar- benar kecewa dengan sikap masyarakat kita yang menjadi antara punca utama scammer berleluasa.

“Saya bagi tiga petua utama iaitu mesti berilmu, bersikap normal iaitu jangan panik sebaliknya memahami prosedur operasi standard (SOP), serta semak dan tanya,” ujarnya.

Apabila saya mengajukan soalan antara mangsanya adalah profesional seperti guru, akuntan , malah ada yang pemegang ijazah kedoktoran? Adakah mereka tidak berilmu,

Beliau menjawab benar, mungkin berilmu, tidak panik dan mungkin menyemak SOP sebelum terpedaya tetapi sifat lain mungkin menjadi punca seperti tamak , haloba dan hendak untung cepat.

Manakan tidak, apabila sudah terpedaya, ini berkemungkinan individu atau mangsa berkenaan kurang cerdik, sedang dia boleh menilai secara normal, memahami SOP dan boleh menyemak atau memeriksa.

Bermakna kawalan kendiri penting . Ini juga bermakna isu scammer ini sama seperti syaitan yang sering menggoda dan menjerumuskan mangsa kepada kepada satu masalah.

Scammer ini tidak kelihatan, justeru saya memberi konotasi mudah, bahawa kerja-kerja scammer ini dan karakternya sama seperti syaitan, berada di mana-mana dan kerjanya hanya menggoda mangsa hingga terpedaya akibat kurang kawalan nafsu.

Pakar Keselamatan Rangkaian dan Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Zuriati Ahmad Zulkarnain juga bersetuju bahawa kawalan kendiri penting mengawal selia penggunaan teknologi digital ini bagi mengelak menjadi mangsa jenayah ini.

“(Pendidikan) bermula daripada rumah, perlu ada kawal selia bagi anak-anak bawah 13 tahun dan mereka perlu diperingatkan yang mana salah,“ ujarnya.

Kata beliau lagi bermula daripada rumah dan sekolah, anak-anak perlu diberi didikan, jangan biarkan mereka melayari media sosial tanpa kawal selia ini.

Penganalisis Jenayah Kamal Affandi Hashim bersetuju bahawa punca utama menjadi mangsa kerana kurangnya kawalan atau kawalan kendiri yang semakin kendur.

“Walaupun kita cuba memberi justifikasi bahawa gajet adalah keperluan masa kini, hakikatnya kawalan kendiri kita semakin kendur.

“Pihak berkuasa hanya mampu mengambil tindakan selepas insiden atau kerugian terjadi. Sebenarnya jenayah ini bermula sebaik sahaja jari pengguna mengetik papan kekunci gajet milik mereka, “ ujar beliau.

Secara menyeluruh, kata Kamal Affandi, isu scammer memanggil kepedulian kita bermuka dengan ahli keluarga sendiri.

Dalam pada itu, Pensyarah kanan Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi Mara Dr. Azhar Abdul Aziz mengakui dalam era pendigitalan yang semakin berkembang, pelbagai bentuk penipuan dalam talian semakin berleluasa.

Beliau berkata, scammer ialah individu atau kumpulan yang menjalankan aktiviti penipuan untuk mendapatkan wang, maklumat peribadi, atau keuntungan lain secara tidak sah.

Sebagai contoh, katanya, penyerang siber menggunakan mesej teks phishing atau smishing) atau panggilan telefon (vishing) untuk menipu mangsa. Mereka mungkin berpura-pura menjadi wakil bank atau organisasi lain dan meminta maklumat peribadi atau kewangan.

Biasanya penyerang siber menggunakan taktik mendesak untuk mendorong pengguna bertindak tanpa berfikir panjang.

Pharming pula ialah salah satu ancaman siber iaitu trafik laman web daripada pengguna dialihkan ke laman web palsu tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Contohnya, apabila pengguna menaip alamat laman web bank yang sah, mereka sebenarnya dialihkan ke laman web palsu yang kelihatan hampir sama dengan laman web asal.

Love scam melibatkan scammer yang menyamar sebagai individu yang berminat menjalin hubungan romantik dalam talian.

Mereka membina hubungan dengan mangsa melalui laman web atau aplikasi temu janji, dan akhirnya meminta wang dengan pelbagai alasan seperti masalah kewangan, perbelanjaan perubatan, atau kos perjalanan manakala akaun kaldai (money mule) adalah individu yang digunakan oleh penipu untuk memindahkan wang yang diperoleh secara haram.

Kenyataan Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnanin Mohd. Yasin dalam wawancara bersama sebuah stesen penyiaran memberitahu, pihaknya membawa syarikat penyedia perkhidmatan aplikasi (ASP) seperti meta, Fb, X Tiktok dan Instagram dalam regim perundangan membolehkan mereka dilesenkan. Justeru ia hanya melibatkan syarikat ASP dan bukan pengguna.

Dalam kerangka Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, perkhidmatan tersebut perlu dilesenkan.

Ini kerana apabila Internet semakin berkembang kita lihat banyak kemudaratan kepada pengguna justeru di bawah peraturan baharu syarikat ASP perlu diperbadankan di negara ini supaya boleh dilesenkan dan patuh kepada undang undang negara dan mereka perlu nyatakan bentuk perniagaan.

“ Di bawah Seksyen 188 akta berkenaan mereka dikecualikan daripada dilesen tetapi tidak dikecualikan daripada kesan kemudaratan kepada pengguna, (justeru) mereka lebih bertanggungjawab, “ ujarnya.

Pelaksanaan peraturan tersebut akan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Akhirnya kerajaan sudah mula melakukan segala-galanya bagi membendung perbuatan scammer ini tetapi kawalan kendiri lebih penting.

Tetapi bagi saya, pesanan Rahmat Fitri lebih penting kerana beliau melihat peranan pengguna sangat mustahak bagi menghalang perbuatan ‘syaitan’ ini lebih bermaharajalela.

Beliau malah melahirkan kebimbangan jika penipuan dalam tallian ini tidak dikawal, sesuatu yang lebih besar boleh menjejaskan keharmonian.

“Kalau scammer ini sudah sampai menipu sampai ke peringkat ahli politik dan pentadbir negara, boleh menyebabkan isu lebih besar.

“Misalnya mereka buat propaganda kita akan berperang dengan negara jiran, (maka) isunya lebih besar, “ ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya