PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan dia masih memiliki tanggungjawab bersama kem badminton negara meskipun terdapat gesaan peminat dari negara kelahirannya untuk kembali berbakti di Indonesia.
Tegas Rexy, beliau menghormati pandangan peminat yang ingin dirinya kembali ke Indonesia namun buat masa ini, tugas dan hatinya masih bersama Malaysia.
“Saya tidak terfikir mahu kemana-mana pada masa hadapan nanti. Saya hanya fikir bagaimana mahu laksanakan tanggungjawab kepada skuad negara (Malaysia).
“Saya fikir netizen, mereka boleh cakap apa sahaja tapi saya mempunyai tanggungjawab… kalau memang begitu, (contohnya) kontrak tamat dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mahu melanjutkannya, saya akan (terima) kerana rumah saya di sini juga,” kata Rexy ketika ditemui media setibanya dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Untuk rekod, Rexy pernah membawa enam gandingan beregu lelaki negara untuk mengisi kedudukan 12 teratas dunia ketika menjadi jurulatih dari 2005 hingga 2012.
Kini misi memburu emas untuk badminton di Sukan Olimpik akan diteruskan di Los Angeles 2028 (LA28) dan Rexy berkata semua pihak harus mula ‘berkorban’ masa dan tenaga dari sekarang, terutamanya pemain untuk merealisasikan impian itu.-UTUSAN