Peruntukan besar sukarkan kerja penebangan pokok sepenuhnya di tepi jalan - Utusan Malaysia

Peruntukan besar sukarkan kerja penebangan pokok sepenuhnya di tepi jalan

IZIZAM IBRAHIM.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerja-kerja penebangan pokok yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya sukar diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh singkat berikutan kebanyakkan daripadanya ditanam di bahu dan rizab jalan yang melibatkan peruntukan besar.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, bagaimanapun Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sentiasa berusaha memastikan pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dengan menyediakan pasukan khas untuk menebang pokok-pokok berisiko sepanjang tahun.

Katanya, JKR negeri juga telah melantik kontraktor bagi menyelesaikan isu ini dengan menggunakan peruntukan dari Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) dalam membantu mempercepatkan kerja-kerja penebangan.

“Proses penebangan itu sentiasa dilakukan setiap tahun mengikut kepentingan keselamatan pengguna lalu lintas kerana keutamaan fokus peruntukan penyelenggaraan setiap tahun tidaklah tertumpu kepada kerja-kerja penebangan sahaja,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Izizam berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dibangkitkan Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) berhubung usaha dan perancangan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan dalam menangani permasalahan pokok tumbang sekitar negeri ini.

Utusan Malaysia pada Jun lalu pernah melaporkan mengenai kejadian pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini, yang menghempap pasangan suami isteri sehingga menyebabkan keguguran bayi dalam kandungan berusia lima bulan.

Untuk rekod, usaha penanaman pokok di tepi jalan di negeri ini bermula pada tahun 1994 di manaJabatan Perhutanan merupakan penyelaras projek tersebut.

Dalam pada itu, Izizam berkata, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) juga telah menyelesaikan 100 peratus aduan dalam masa 24 jam berhubung kes pokok tumbang dalam kawasan seliaan mereka baru-baru ini.

“Sebagai langkah lanjut dan demi kepentingan awam, MPK juga akan mengedarkan surat Penyelenggaraan dan Pemantauan Pokok Ameniti Berisiko di dalam kawasan seliaan mereka kepada seluruh agensi bertanggungjawab di negeri ini.

“Melalui surat ini, setiap agensi adalah bertanggungjawab untuk menyelenggara, memantau dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan seperti cantasan atau tebang pokok berisiko yang berada dalam kawasaan seliaan masing-masing khususnya di sepanjang jalan raya,” katanya.

Tambahnya, bagi pokok-pokok di bawah seliaan MPK, kerja-kerja penyelenggaraan berkala sentiasa dijalankan terutamanya pokok-pokok yang berada dalam kawasan perumahan.

“Bagi pokok-pokok persendirian pula, notis akan dikeluarkan agar ia dapat ditebang atau diselenggara dengan kos ditanggung oleh pemilik tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN