PETALING JAYA: Perlawanan final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC diharap dapat menjadi landasan terbaik mengukuhkan lagi hubungan erat antara penyokong kedua-dua pasukan tersebut.
Itu antara harapan bekas pemain Johor era 90an, Rizal Sukiman yang melihat pertembungan dua pasukan gergasi ini sebagai perlawanan tumpuan yang bakal disaksikan puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Apatah lagi sempena Hari Kemerdekaan yang bakal tiba pada 31 Ogos ini, sudah tentu apa yang diinginkan adalah untuk menyaksikan keharmonian dan perpaduan yang utuh dapat ditonjolkan oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari perlawanan itu nanti.
Justeru, beliau menjangkakan inilah masanya untuk melihat bagaimana sukan bola sepak ini akan terus menyuntik semangat harmoni dalam kalangan penyokong bagi membuktikan perlawanan sebegini sebenarnya mampu membentuk hubungan positif dan progresif seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Jiwa Merdeka.
“Penyokong mesti akan sokong pasukan kesayangan mereka tetapi tetap semuanya kena ada batas. Bila dah habis perlawanan, wisel penamat dah ditiupkan, kalah menang semuanya kita dah saksikan atas padang, jadi tak perlu dah nak sambung lawan di luar padang, cukup 90 minit dalam perlawanan sahaja.
“Jadikanlah aksi final ini satu tempat untuk kita mengharmonikan hubungan masing-masing sebab kadang-kadang mestilah akan ada yang suka buat provokasi. Setiap penyokong haruslah bijak dan berlapang dada apabila menyokong pasukan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain Selangor, Mohd Nasriq Baharom berharap perlawanan akhir itu akan berlangsung sengit dan seimbang sekali gus menyajikan aksi menarik untuk ditonton jutaan peminat bola sepak tempatan.
“Saya rasa pasukan Selangor salah satu pasukan yang mampu memberi saingan sengit untuk pasukan JDT. Buat masa sekarang, kita tidak nafikan memang pasukan JDT pasukan nombor satu tapi saya rasa Selangor ialah salah satu pasukan yang boleh mencabar pasukan JDT.
“Harapan saya, Piala FA ini mungkin dah lama pasukan Selangor tak mencapai kejayaan dan JDT selaku juara bertahan sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah. Jadi, saya rasa ini adalah perlawanan yang menarik untuk kita semua dan yang turut dinanti-nantikan oleh ramai peminat,” ujarnya.